Selamat Singgah!

Assalamu'alaikum & Salam Sejahtera,

Selamat datang ke FunCrayons. Blog ini menyediakan material/bahan belajar tambahan untuk para pelajar kelas tuisyen kami. Kami dengan rendah diri ingin berkongsi dengan kalian semua.

Suka diingatkan di sini, apa yang kami kongsikan di sini ialah bahan-bahan yang kami rasakan sesuai dan dapat membimbing murid/pelajar. Blog ini tidak menawarkan khidmat untuk memberi nota penuh atau menyediakan karangan lengkap untuk menyiapkan tugasan sekolah mana-mana pelajar. Mohon budi bicara kalian agar tidak meninggalkan komen-komen yang tidak bermoral.

Gunakan bahan di blog ini sewajarnya dan dapatkan sumber rujukan lain untuk membantu anda belajar. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang masalah atau kesulitan yang anda alami ekoran bergantung sepenuhnya pada isi kandungan blog ini.

Jika ada masalah dengan sebarang pautan di blog ini, sila maklumkan kepada kami di ruangan komen entri berkenaan.

Sabtu, Januari 16, 2010

Perumpamaan - Perbuatan yang Sia-sia

Peribahasa di bawah merupakan perumpamaan yang boleh kalian gunakan dalam penulisan untuk menggambarkan perbuatan atau perlakuan yang sia - sia.

  • seperti tulis di atas air / menyurat di atas air
Perbuatan atau perlakuan yang sia-sia kerana apa yang ditulis di atas air tidak akan dapat dibaca.

  • seperti mengira bulu kambing
Perlakuan ini hanya sia-sia kerana mustahil untuk kita mengira bulu kambing.

  • seperti melempar kersik ke buluh
Tekstur kersik (pasir) yang kasar tidak akan terlekat pada permukaan buluh yang licin. Maka perbuatan sebegini memang sia-sia dan mustahil dapat dilakukan.

  • seperti mengail kucing hanyut
Perumpamaan ini membawa maksud memberikan pertolongan yang sia-sia atau kepada pihak yang tidak memerlukan pertolongan. Perbuatan mengail kucing yang hanyut adalah sia-sia kerana secara dasarnya kucing tersebut tahu menyelamatkan diri sendiri.

  • seperti mencurah garam ke laut
Juga membawa maksud bantuan atau pertolongan yang sia-sia. Air laut yang sudah sedia masin tidak perlu dicurahkan lagi garam.

  • seperti hujan jatuh ke pasir
Membawa maksud kebaikan, nasihat atau pertolongan yang sia-sia kerana tidak diperlukan/tidak dihargai oleh yang menerimanya.

  • seperti mencurah air ke daun keladi

Perumpamaan ini bermaksud perbuatan menasihati orang yang sia-sia kerana nasihat tersebut tidak dihiraukan.


Peribahasa lain yang membawa maksud usaha/perbuatan yang sia - sia:

  • tertanam biji hampa - merupakan usaha yang sia-sia kerana biji hampa tidak akan bercambah benihnya.

  • tuba binasa ikan tak dapat - perbuatan yang sia-sia malah mendatangkan kerugian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Elakkan meninggalkan komen sebagai Anonymous/Tanpa Nama. Pilih 'Nama/URL', isikan nama (Tidak perlu isikan URL) dan tekan 'Teruskan'.

Follow by Email