Selamat Singgah!

Assalamu'alaikum & Salam Sejahtera,

Selamat datang ke FunCrayons. Blog ini menyediakan material/bahan belajar tambahan untuk para pelajar kelas tuisyen kami. Kami dengan rendah diri ingin berkongsi dengan kalian semua.

Suka diingatkan di sini, apa yang kami kongsikan di sini ialah bahan-bahan yang kami rasakan sesuai dan dapat membimbing murid/pelajar. Blog ini tidak menawarkan khidmat untuk memberi nota penuh atau menyediakan karangan lengkap untuk menyiapkan tugasan sekolah mana-mana pelajar. Mohon budi bicara kalian agar tidak meninggalkan komen-komen yang tidak bermoral.

Gunakan bahan di blog ini sewajarnya dan dapatkan sumber rujukan lain untuk membantu anda belajar. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang masalah atau kesulitan yang anda alami ekoran bergantung sepenuhnya pada isi kandungan blog ini.

Jika ada masalah dengan sebarang pautan di blog ini, sila maklumkan kepada kami di ruangan komen entri berkenaan.

Isnin, Julai 22, 2013

Komsas Tingkatan 1 - Kian Kita Lupa



KIAN KITA LUPA.

Kian kita lupa
pada usul jerih bangsa
bila mewah harta di birai mata

Kian kita lupa
pada derita moyang dahulu kala
bila asyik riak dan berbangga

Kian kita lupa
pada azab dan seksa di sana
bila Tuhan melimpahkan kurnia
Tetapi,
kita hanya tak lupa
bila terlewat masa
untuk menyesali segala
terlanjur laku dan bicara
bahagia bertukar derita
gembira menjadi duka.

ZULFAZLAN JUMRAH

Maksud
Rangkap 1:
Manusia semakin melupakan asal usul dan kesusahan bangsa sendiri apabila hidup diulit kemewahan.

Rangkap 2:
Manusia semakin lupa akan penderitaan dan kesusahan generasi terdahulu apabila perasaan sombong dan bangga memenuhi dada pada zaman moden ini.

Rangkap 3:
Manusia kian lupa akan azab dan seksa akhirat apabila memperoleh nikmat yang banyak daripada Tuhan.

Rangkap 4:
Manusia hanya akan beringat-ingat dan menyesali segala keterlanjurannya apabila ditimpa kesusahan dan kesedihan.


Tema
Sikap lupa diri dalam kalangan manusia ang tidak menghargai jasa orang - orang yang terdahulu dan mulai lupa pada Tuhan apabila mengecapi kesenangan.


Persoalan
  1. Kekayaan yang mengabui mata manusia.
  2. Kebanggaan diri sehingga melupakan jasa generasi terdahulu.
  3. Nikmat hidup dilalui sehingga melupakan azab dan seksaan di akhirat.
  4. Penyesalan yang terlewat.
  5. Kekesalan hidup akibat kelalaian dan perbuatan diri sendiri.
  6. Sikap manusia yang hanya mengingati Tuhan semasa berada dalam kesusahan.

Gaya Bahasa

1. Pengulangan baris/kata
Baris pertama bagi rangkap pertama hingga rangkap ketiga adalah sama, iaitu Kian kita lupa.

2. Inversi
Kian kita lupa sepatutnya ditulis “Kita kian lupa”

3. Sinkof
kita hanya tak lupa

4. Paradoks (unsur positif dan negatif dalam satu baris)
  • bahagia bertukar derita
  • gembira menjadi duka.

5. Perlambangan/Simbol
pada azab dan seksa di sana
'di sana' bermaksud di akhirat atau alam selepas kematian

6. Penggunaan bahasa Arab
azab

7. Metafora
birai mata

8. Asonansi ( pengulangan huruf vokal)
bila Tuhan melimpahkan kurnia

9. Aliterasi
pada derita moyang dahulu kala


Nilai Murni

1. Bersyukur - Tuhan mengurniakan kesenangan dan kemeweahan untuk disyukuri.

2. Mengenang jasa - Manusia semakin lupa bangsa sendiri apabila dirinya dilimpahi kekayaan harta benda.

3. Menghargai budi - Generasi sekarang sewajarnya menghargai budi generasi terdahulu daripada hanya berbangga diri.

4. Patuh akan ajaran agama - Manusia diingatkan supaya menjada kelakuan diri daripada terlanjur dan menyesal.

5. Berhemah tinggi - Kita sebagai manusia perlu pandai menjaga maruah diri supaya tidak lupa daratan.

5. Bersederhana - Kita tidak seharusnya  terlalu bangga dengan kemewahan yang dimiliki kerana kesusahan dan kesedihan akan muncul pada bila-bila masa.
6. Keinsafan - Sebagai manusia yang tidak lepas daripada melakukan kesalahan, kita perlu insaf akan kecuaian dan kelalaian kita sebelum terlewat.

Pengajaran
  1. Kita hendaklah bersyukur dengan nikmat Tuhan.
  2. Kita haruslah mengenang jasa generasi terdahulu kerana tanpa mereka siapalah kita.
  3. Kita wajarlah mengingati setiap ajaran agama supaya tidak merasai bahang api neraka.
  4. Kita patutlah menjaga tingkah laku kita supaya maruah diri terpelihara.
  5. Kita mestilah insaf akan kesalahan sebelum terlambat.
  6. Janganlah kita melakukan sesuatu yang akan menyebabkan kita menyesal kelak.
  7. Janganlah kita lupa diri apabila memperoleh kemewahan.
  8. Janganlah kita menyalahgunakan nikmat yang diberikan-Nya.
  9. Janganlah kita lupa bahawa masa yang berlalu tidak akan kembali lagi.
  10. Kita haruslah ingat bahawa kesenangan dan kemewahan harta benda  bukanlah pelengkap kehidupan selama-lamanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Elakkan meninggalkan komen sebagai Anonymous/Tanpa Nama. Pilih 'Nama/URL', isikan nama (Tidak perlu isikan URL) dan tekan 'Teruskan'.

Follow by Email