Selamat Singgah!

Assalamu'alaikum & Salam Sejahtera,

Selamat datang ke FunCrayons. Blog ini menyediakan material/bahan belajar tambahan untuk para pelajar kelas tuisyen kami. Kami dengan rendah diri ingin berkongsi dengan kalian semua.

Suka diingatkan di sini, apa yang kami kongsikan di sini ialah bahan-bahan yang kami rasakan sesuai dan dapat membimbing murid/pelajar. Blog ini tidak menawarkan khidmat untuk memberi nota penuh atau menyediakan karangan lengkap untuk menyiapkan tugasan sekolah mana-mana pelajar. Mohon budi bicara kalian agar tidak meninggalkan komen-komen yang tidak bermoral.

Gunakan bahan di blog ini sewajarnya dan dapatkan sumber rujukan lain untuk membantu anda belajar. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang masalah atau kesulitan yang anda alami ekoran bergantung sepenuhnya pada isi kandungan blog ini.

Jika ada masalah dengan sebarang pautan di blog ini, sila maklumkan kepada kami di ruangan komen entri berkenaan.

Isnin, Disember 16, 2013

Novel PAPA...(akhirnya kau tewas jua!) - Persoalan



Contoh soalan:

  • Huraikan empat persoalan yang ditimbulkan dalam novel yang telah anda kaji.
  • Pengarang menyelitkan beberapa persoalan dalam novel yang telah anda baca. Huraikan tiga persoalan utama dalam novel tersebut.



PERSOALAN

1. Persoalan ketabahan dalam mengharungi cabaran dan dugaan hidup.

Persoalan ini ditimbulkan apabila Jeffri terpaksa menerima realiti bahawa isterinya telah koma dan anak kembar siamnya meninggal dunia. Kebahagiaan hidup keluarganya diragut oleh nasib malang yang tidak diduganya sama sekali. Meskipun begitu, Jeffri tabah menghadapi liku-liku hidup tersebut. Dia tidak menitiskan air matanya apabila berdepan dengan cabaran dahsyat itu.


2. Persoalan kegigihan dalam proses menimba ilmu pengetahuan demi kecemerlangan hidup pada masa hadapan.

Julia begitu gigih mengulang kaji pelajarannya sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan SPM. Dia membuat persediaan awal demi peperiksaannya. Berkat kegigihannya, dia lulus dengan begitu cemerlang. Akhirnya, dia ditawarkan melanjutkan pengajian di Kolej Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa. Ketika di universiti, dia begitu gigih menyiapkan tugasan kursus yang diberi oleh pensyarahnya bersama-sama Rasylan.


3. Persoalan sifat sanggup berkorban demi kebahagiaan orang yang disayangi.

Pengorbanan ini lakukan oleh Intan Maliana terhadap suaminya Jeffri walaupun perngorbanan itu amat membahayakan nyawanya sendiri. Intan Maliana sanggup hamil sekali lagi hanya untuk memenuhi permintaan Jeffri walaupun dia pernah koma ketika melahirkan anaknya yang pertama iaitu Intan Julia. Dia telah kehilangan banyak darah. Walaupun telah dinasihatkan oleh Mak Cik Noraini dan kawannya Suzie, namun Intan Maliana tetap tidak mahu menggugurkan kandungan itu demi sayangkan suaminya Jeffri. Dia sanggup berkorban menghadapi komplikasi sekali lagi ketika melahirkan anak kembar siam yang dikandungnya. Selepas dibedah, Intan Maliana koma manakala anak kembar siamnya pula meninggal dunia.


4. Persoalan kesetiaan seorang suami kepada isterinya yang telah banyak berkorban untuk dirinya.

Demi kesetiaan terhadap isterinya, Jeffri sentiasa bersama dengan Intan Maliana dalam setiap keadaan sehingga menimbulkan rasa cemburu dan meluat pada diri anaknya Intan Julia. Intan Julia pernah mencabarnya supaya memikat Aisyah. Namun dia tidak mahu hubungannya dengan Intan Maliana terganggu dan menyebabkan Intan Maliana kecewa. Jeffri juga tidak menerima cadangan Mak Cik Noraini supaya dia berkahwin lagi mengenangkan isterinya Intan Maliana koma dan tidak tahu bila dia akan sedar. Malah Jeffri telah menunggu Intan Maliana yang sedang koma selama beberapa tahun sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin. Walaupun telah berkahwin, dia pernah memberitahu Aisyah bahawa dia akan mengutamakan Intan Maliana dan Intan Julia.  

 
5. Persoalan tanggungjawab seorang suami dan bapa terhadap keluarga.

Sebagai seorang suami, Jeffri bertanggungjawab memberikan sepenuh kasih sayang demi memastikan hubungan mereka bahagia. Dia telah memberikan sokongan moral kepada isterinya semasa isterinya mengandung dan saat melahirkan anak. Semasa kelahiran anak kedua yang telah meninggal dalam kandungan, dia menguruskan jenazah tersebut untuk dikebumikan. Dia sentiasa pergi ke hospital untuk melawat isterinya yang sedang koma. Malah dia telah membawa isterinya pulang ke rumah supaya dia dapat selalu menjaga dan memerhatikan isterinya. Selama isterinya koma, dia menjalankan tanggungjawab untuk menghantar dan mengambil anaknya Intan Julia dari sekolah selain daripada mengambil tahu perkembangan pelajaran Intan Julia sehinggalah Intan menuntut di UIA.


6. Persoalan sikap tidak bertanggungjawab ibu bapa terhadap anak dan isu pembuangan bayi.

En. Muaz al-Khalibi telah melakukan perbuatan sumbang dengan seorang wanita warga Indonesia sehingga wanita itu mengandung. Muaz al-Khalibi telah meninggalkan wanita itu ketika dia hamil tiga bulan, menyebabkan wanita itu kecewa. Setelah melahirkan anak, anak  itu tidak mahu dijaga. Dia telah meletakkan anak itu di tepi longkang dengan niat untuk membiarkan anak itu mati. Nasib anak itu baik kerana dia dijumpai dan dijaga di rumah kebajikan sehinggalah Datuk Mustakim mengambilnya untuk dijadikan anak angkat. Menyedari nasib dirinya sedemikian, Rasylan tidak mahu menerima En. Muaz al-Khalibi sebagai bapanya walaupun menerima tawaran yang banyak dan  ujian DNA telah mengesahkan dia adalah anak En. Muaz.                     


7. Persoalan pandangan masyarakat terhadap anak luar nikah atau tidak sah taraf.

Rasylan telah dipandang sebagai seorang yang hina dan tidak layak untuk berkawan dengan orang lain. Jeffri telah mengetahui latar belakang Rasylan menyebabkan  dia menghalang hubungan Intan Julia dengan Rasylan. Dia menyuruh Intan Julia merenggangkan hubungan dengan Rasylan. Semasa Rasylan datang ke rumah Intan Julia, Jeffri telah memandang sinis terhadap Rasylan. Kata-kata Jeffri telah membuatkan Rasylan terasa hati. Jeffri mengungkitkan kisah lama Rasylan yang dijaga di rumah kebajikan masyarakat yang tidak pasti asal keturunannya.


8. Persoalan poligami dalam masyarakat Islam.

Walaupun poligami dibenarkan dalam ajaran Islam, namun perlulah mengikut syarat tertentu. Jeffri tidak menerima poligami secara melulu. Malah sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin lagi, dia telah mengkaji tentang poligami dengan membaca artikel tentang poligami. Intan Julia sendiri melihat bapanya membaca petikan berkenaan. Jeffri mengambil masa yang cukup lama sepanjang tempoh isterinya koma sebelum membuat keputusan berkahwin lagi. Keputusan itu dibuat atas alasan kepentingan kehidupannya, bukan atas  dasar nafsu semata-mata.


9. Persoalan cinta, hubungan dan pergaulan dalam golongan remaja terutamanya yang melibatkan hubungan berlainan jantina.

Julia telah berkawan dengan Rasylan sejak sekolah menengah lagi. Dia menaruh perasaan cinta yang mendalam terhadap Rasylan. Bagi Julia, Rasylan begitu tampan dan tinggi budi bahasanya. Walaupun papanya tidak merestui hubungan mereka, Julia bertindak menyembunyikan hubungan percintaannya daripada pengetahuan Jeffri. Apabila mereka melanjutkan pelajaran ke UIA, hubungan cinta antara mereka semakin utuh. Walaupun begitu, seperti pasangan kekasihh lain, mereka turut berselisish faham akibat perasaan cemburu. Walau apa jua cabaran, percintaan mereka tetap berlandaskan keikhlasan dan kejujuran.


10. Persoalan sifat berdikari dalam menguruskan hidup tanpa kehadiran ibu bapa di sisi.

Julia membuktikan kemampuannya hidup berdikari ketika menuntut di kampus UIA. Dia terpaksa meninggalkan rumah dan memulakan kehidupan baru di kampus. Dia berjaya menjalani hidupnya tanpa papa dan mama di sisi. Malah, dia turut memikul tanggungjawab menjaga mamanya apabila dia pulang ke rumah pada hujung minggu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Elakkan meninggalkan komen sebagai Anonymous/Tanpa Nama. Pilih 'Nama/URL', isikan nama (Tidak perlu isikan URL) dan tekan 'Teruskan'.

Follow by Email