Selamat Singgah!

Assalamu'alaikum & Salam Sejahtera,

Selamat datang ke FunCrayons. Blog ini menyediakan material/bahan belajar tambahan untuk para pelajar kelas tuisyen kami. Kami dengan rendah diri ingin berkongsi dengan kalian semua.

Suka diingatkan di sini, apa yang kami kongsikan di sini ialah bahan-bahan yang kami rasakan sesuai dan dapat membimbing murid/pelajar. Blog ini tidak menawarkan khidmat untuk memberi nota penuh atau menyediakan karangan lengkap untuk menyiapkan tugasan sekolah mana-mana pelajar. Mohon budi bicara kalian agar tidak meninggalkan komen-komen yang tidak bermoral.

Gunakan bahan di blog ini sewajarnya dan dapatkan sumber rujukan lain untuk membantu anda belajar. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang masalah atau kesulitan yang anda alami ekoran bergantung sepenuhnya pada isi kandungan blog ini.

Jika ada masalah dengan sebarang pautan di blog ini, sila maklumkan kepada kami di ruangan komen entri berkenaan.

Khamis, Januari 16, 2014

Pantun Dua Kerat (Nasihat) - Antologi Kasut Kelopak Jantung Tingkatan 1





PANTUN DUA KERAT ( Nasihat )

Terima kasih daun keladi,
Kalau boleh hendak lagi.

Ikan siakap ikan senohong,
Banyak cakap banyak bohong.

Pecah kaca pecah gelas,
Sudah dibaca harap balas.

Emas perak tembaga suasa,
Malas bergerak tidak merasa.

Pagi petang siang malam,
Hati terang senang faham.

Kumbang jarak kumbang jagung,
Berani buat berani tanggung.

Tunggu durian Teluk Emas,
Siapa kemudian kena kemas.

Buah cempedak dalam gantang,
Siapa hendak dia datang.

Periuk belanga pasu kuali,
Busuk nama menipu mencuri.

Saya kata ituk, awak kata ayam,
Sudah kena jentik baru nak diam.


Maksud Pantun:

  • Rangkap 1 - Keinginan untuk mendapatkan sesuatu pemberian sekiranya tiada halangan.
  • Rangkap 2 - Orang yang banyak berkata-kata akan melakukan lebih banyak kesilapan.
  • Rangkap 3 - Balasan yang diharapkan daripada penerima surat melalui surat yang diutus.
  • Rangkap 4 - Orang yang tidak berusaha tidak akan memperoleh apa-apa.
  • Rangkap 5 - Pemikiran yang cerdas membuatkan seseorang lebih mudah memahami sesuatu.
  • Rangkap 6 - Tanggungjawab yang harus ditanggung atas perbuatan yang dilakukan.
  • Rangkap 7 - Orang yang terakhir dikehendaki menyiapkan atau membersihkan sesuatu.
  • Rangkap 8 - Orang yang memerlukan sesuatu perlulah menghadirkan diri.
  • Rangkap 9 - Nama seseorang akan tercemar sebagai akibat melakukan perbuatan yang keji.
  • Rangkap 10 - Seseorang itu tidak akan mengulang perbuatan setelah menerima hukuman atau dendaan.


Tema
Nasihat kepada semua lapisan masyarakat agar mempraktikkan amalan baik dalam kehidupan.


Persoalan
  • Keburukan orang yang banyak bercakap.
  • Orang yang malas berusaha akan hidup susah.
  • Sikap manusia yang hanya sudah ditegur barulah hendak sedar.
  • Berusaha jika mahu mendapatkan sesuatu.
  • Orang yang suka menipu dan mencuri akan dikeji dan dibenci oleh masyarakat.
  • Berani menanggung akibat atau risiko sesuatu perkara yang dilakukan.


 Nilai
  • Keberanian
  • Kerajinan
  • Bertanggungjawab
  • Penghargaan
  • Kejujuran


Pengajaran
  • Janganlah berbohong kerana perbuatan itu sia-sia dan akan memalukan diri sendiri.
  • Kita seharuslah rajin berusaha supaya apa yang dihajati akan tercapai.
  • Orang yang suka menipu atau mencuri akan mendapat balasan yang setimpal.
  • Kita haruslah berani menghadapi sebarang risiko atau dugaan atas perkara yang telah kita lakukan.
  • Janganlah apabila sudah ditegur, barulah kita hendak sedar daripada kesilapan diri. 
  • Kita hendaklah berfikir terlebih dahulu sebelum berkata-kata supaya apa-apa yang diucapkan benar dan bernas.


Gaya Bahasa
  1. Asonansi - Hati terang senang faham (pengulangan vokal a)
  2. Aliterasi - Kumbang jarak kumbang jagung (pengulangan konsonan k)
  3. Imej alam - daun keladi, ikan siakap, durian, cempedak
  4. Repetisi Kumbang jarak kumbang jagung, Berani buat berani tanggung. (pengulangan kata dalam baris)
  5. Sinkope - nak
  6. Metafora - hati terang


Cuba buat lembaran kerja ini - Latihan Pantun Dua Kerat (Nasihat) - Antologi Kasut Kelopak Jantung Tingkatan 1








3 ulasan:

  1. terima kasih ;) , jasamu akan dikenang :3

    BalasPadam
  2. Tq....sdap pantun nie.....jasamu akan ku balas dgn belajar bersungguh2....

    BalasPadam
  3. terima kasih atas bantuan ini.

    BalasPadam

Elakkan meninggalkan komen sebagai Anonymous/Tanpa Nama. Pilih 'Nama/URL', isikan nama (Tidak perlu isikan URL) dan tekan 'Teruskan'.

Follow by Email