Selamat Singgah!

Assalamu'alaikum & Salam Sejahtera,

Selamat datang ke FunCrayons. Blog ini menyediakan material/bahan belajar tambahan untuk para pelajar kelas tuisyen kami. Kami dengan rendah diri ingin berkongsi dengan kalian semua.

Suka diingatkan di sini, apa yang kami kongsikan di sini ialah bahan-bahan yang kami rasakan sesuai dan dapat membimbing murid/pelajar. Blog ini tidak menawarkan khidmat untuk memberi nota penuh atau menyediakan karangan lengkap untuk menyiapkan tugasan sekolah mana-mana pelajar. Mohon budi bicara kalian agar tidak meninggalkan komen-komen yang tidak bermoral.

Gunakan bahan di blog ini sewajarnya dan dapatkan sumber rujukan lain untuk membantu anda belajar. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang masalah atau kesulitan yang anda alami ekoran bergantung sepenuhnya pada isi kandungan blog ini.

Jika ada masalah dengan sebarang pautan di blog ini, sila maklumkan kepada kami di ruangan komen entri berkenaan.

Jumaat, Mac 14, 2014

Sajak 'Seorang Insan Istimewa' - Maksud

Seorang Insan Istimewa

Dia tidak pernah meminta
untuk lahir sebegitu rupa
namun kecilnya diri
menyanggah takdir Yang Maha Esa
sebuah suratan tertulis sudah
sebuah kehidupan tetap harus diteruskan.

Seorang insan istimewa
menapak dalam reda
menggalas payah dalam senyum terpaksa
betapa pun simpati mata memandang
pasti tiada bandingan
dengan derita ini
menempuh cabaran.

Seorang insan istimewa
anugerah satu ujian
amanah suatu tuntutan
biar sukar mesti disempurnakan
luas buana
mereka tetap punya ruang
meneruskan kehidupan
selagi Tuhan mengizinkan.

Bantulah, bimbinglah
seikhlas hati setulus budi
Tuhan pasti merestui.

Natasya Puteri
Antologi Harga Sebuah Lukisan (DBP)


Maksud sajak mengikut rangkap:

Rangkap 1

Insan istimewa (golongan kelainan upaya) tidak meminta dilahirkan cacat. Mereka tidak berdaya melawan ketentuan Tuhan. Semuanya sudah tersurat dan kehidupan perlu diteruskan.

Rangkap 2
Insan istimewa (golongan kelainan upaya) terpaksa menempuh hidup yang sukar dengan penuh rela dan pasrah. Perlu meneruskan kelangsungan hidup seperti insan lain yang sempurna. Kendatipunpun ada yang bersimpati, namun berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Rangkap 3
Kecacatan merupakan satu bentuk ujian dan amanah daripada Allah walaupun sukar dilaksanakan. Insan istimewa juga ada hak untuk hidup selagi diizinkan Tuhan. Golongan ini tidak sepatutnya dianaktirikan.

Rangkap 4
Penyajak berseru agar kita membantu insan istimewa dengan ikhlas dan tulus. Allah akan memberi ganjaran atas kebaikan yang dilakukan.


Entri Lain yang Berkaitan: 
Kupasan Sajak 'Seorang Insan Istimewa'
Sajak 'Seorang Insan Istimewa' - Gaya Bahasa

1 ulasan:

Elakkan meninggalkan komen sebagai Anonymous/Tanpa Nama. Pilih 'Nama/URL', isikan nama (Tidak perlu isikan URL) dan tekan 'Teruskan'.

Follow by Email