Selamat Singgah!

Assalamu'alaikum & Salam Sejahtera,

Selamat datang ke FunCrayons. Blog ini menyediakan material/bahan belajar tambahan untuk para pelajar kelas tuisyen kami. Kami dengan rendah diri ingin berkongsi dengan kalian semua.

Suka diingatkan di sini, apa yang kami kongsikan di sini ialah bahan-bahan yang kami rasakan sesuai dan dapat membimbing murid/pelajar. Blog ini tidak menawarkan khidmat untuk memberi nota penuh atau menyediakan karangan lengkap untuk menyiapkan tugasan sekolah mana-mana pelajar. Mohon budi bicara kalian agar tidak meninggalkan komen-komen yang tidak bermoral.

Gunakan bahan di blog ini sewajarnya dan dapatkan sumber rujukan lain untuk membantu anda belajar. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang masalah atau kesulitan yang anda alami ekoran bergantung sepenuhnya pada isi kandungan blog ini.

Jika ada masalah dengan sebarang pautan di blog ini, sila maklumkan kepada kami di ruangan komen entri berkenaan.

Jumaat, Mac 14, 2014

Sajak 'Seorang Insan Istimewa' - Antologi Harga Sebuah Lukisan

Seorang Insan Istimewa

Dia tidak pernah meminta
untuk lahir sebegitu rupa
namun kecilnya diri
menyanggah takdir Yang Maha Esa
sebuah suratan tertulis sudah
sebuah kehidupan tetap harus diteruskan.

Seorang insan istimewa
menapak dalam reda
menggalas payah dalam senyum terpaksa
betapa pun simpati mata memandang
pasti tiada bandingan
dengan derita ini
menempuh cabaran.

Seorang insan istimewa
anugerah satu ujian
amanah suatu tuntutan
biar sukar mesti disempurnakan
luas buana
mereka tetap punya ruang
meneruskan kehidupan
selagi Tuhan mengizinkan.

Bantulah, bimbinglah
seikhlas hati setulus budi
Tuhan pasti merestui.

Natasya Puteri
Antologi Harga Sebuah Lukisan (DBP)


Tema
Dugaan insan kurang upaya dalam meneruskan kelangsungan hidup dan tanggungjawab masyarakat terhadap mereka.

Persoalan 
  • Insan istimewa merupakan amanah dan anugerah Tuhan.
  • Insan istimewa mempunyai hak untuk hidup di dunia ini.
  • Insan istimewa tidak meminta dilahirkan cacat.
  • Kepasrahan dalam menerima takdir Ilahi
  • Ketabahan dalam menghadapi cabaran kehidupan
  • Bantu-membantu sesama anggota masyarakat
  • Keikhlasan dalam menolong orang lain
  • Kesusahan yang dihadapi oleh insan istimewa.
  • Masyarakat perlu membantu insan istimewa.


Bentuk
1.    Berbentuk bebas.
2.    Mengandungi empat rangkap.
3.    Baris-baris ayat dan rima akhir
         Rangkap 1 terdapat 6 baris ayat. Rima akhirnya aabacd.
         Rangkap 2 terdapat 7 baris ayat. Rima akhirnya aaabcdc.
         Rangkap 3 terdapat 8 baris ayat. Rima akhirnya abbbacbb.
         Rangkap 4 terdapat 3 baris ayat. Rima akhirnya abb.


Nada
Melankolik


Nilai murni
  • Redha - menerima takdir diri yang cacat dengan pasrah
  • Tabah - tabah menjalani dugaan hidup sebagai insan istimewa
  • Simpati - simpati kepada orang yang kurang upaya.
  • Bantu-membantu - bersedia menghulurkan bantuan kepada orang yang kurang upaya
  • Ikhlas - membantu orang lain dengan hati yang ikhlas.
  • Tanggungjawab - semua insan yang sempurna mempunyai tanggungjawab untuk menolong golongan kurang upaya agar dapat meneruskan kehidupan dengan selesa


Pengajaran 
  • Kita hendaklah pasrah dalam menerima takdir Ilahi.
  • Kita hendaklah tabah dalam menghadapi cabaran hidup.
  • Kita hendaklah tolong-menolong sesama anggota masyarakat.
  • Kita hendaklah ikhlas dan tulus hati dalam menolong orang lain.

Entri Lain yang Berkaitan: 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Elakkan meninggalkan komen sebagai Anonymous/Tanpa Nama. Pilih 'Nama/URL', isikan nama (Tidak perlu isikan URL) dan tekan 'Teruskan'.

Follow by Email