Selamat Singgah!

Assalamu'alaikum & Salam Sejahtera,

Selamat datang ke FunCrayons. Blog ini menyediakan material/bahan belajar tambahan untuk para pelajar kelas tuisyen kami. Kami dengan rendah diri ingin berkongsi dengan kalian semua.

Suka diingatkan di sini, apa yang kami kongsikan di sini ialah bahan-bahan yang kami rasakan sesuai dan dapat membimbing murid/pelajar. Blog ini tidak menawarkan khidmat untuk memberi nota penuh atau menyediakan karangan lengkap untuk menyiapkan tugasan sekolah mana-mana pelajar. Mohon budi bicara kalian agar tidak meninggalkan komen-komen yang tidak bermoral.

Gunakan bahan di blog ini sewajarnya dan dapatkan sumber rujukan lain untuk membantu anda belajar. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang masalah atau kesulitan yang anda alami ekoran bergantung sepenuhnya pada isi kandungan blog ini.

Jika ada masalah dengan sebarang pautan di blog ini, sila maklumkan kepada kami di ruangan komen entri berkenaan.

Rabu, Julai 09, 2014

Kupasan CERPEN BUDI SEMANGKUK DAGING (Amy Suzani Ainuddin)

Sinopsis
Mengisahkan Puan Ainun yang hidup berjiran dengan Puan Salbiah, Puan Cheng dan Cik Punita. Pada suatu hari, Puan Ainun memberi setiap orang jirannya semangkuk daging masak Minang. Semua jirannya memuji keenakan masakannya kecuali Cik Punita yang mengembalikan pemberiannya. Akibat semangkuk daging, Puan Ainun tidak berpuas hati dan berdendam dengan Cik Punita sehingga sanggup menyuruh anaknya mengembalikan buah limau bali pemberian Cik Punita. Akhirnya, mereka berbaik semula apabila suami Puan Ainun memaklumkan bahawa penganut agama Hindu tidak makan daging lembu kerana lembu ialah binatang suci bagi penganut agama Hindu.

Tema - Kepentingan semangat kejiranan dalam kehidupan seharian.

Persoalan
i. Masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
Contoh: Puan Ainun, Puan Cheng, dan Cik Punita yang tinggal di satu taman perumahan.

ii. Larangan dalam agama.
Contoh: Cik Punita mengembalikan semangkuk daging pemberian Puan Ainun kerana amalan agamanya tidak membenarkan penganutnya makan daging lembu yang dianggap suci.

iii. Dendam yang berpanjangan.
Contoh: Puan Ainun berdendam terhadap Cik Punita yang mengembalikan semangkuk daging pemberiannya.

iv. Tolong- menolong dalam hidup bermasyarakat.
Contoh: Anak- anak Puan Ainun menyiram pokok- pokok bunga Cik Punita ketika dia balik ke kampung.

Binaan Plot
i. Permulaan
Mengisahkan Puan Ainun seorang yang suka memasak dan mencuba resipi baharu, iaitu daging masak Minang.

ii. Perkembangan
Puan Ainun meminta anak-anaknya menghantar masakan tersebut kepada tiga orang jirannya iaitu Puan Cheng, Cik Punita dan Puan Salbiah.

iii. Puncak
Puan Ainun akhirnya mengetahui punca Cik Punita mengembalikan masakannya melalui penjelasan suaminya. Rupa-rupanya Cik Punita tidak makan daging kerana penganut agama Hindu tidak boleh makan daging lembu.

iv. Peleraian
Akhirnya Puan Ainun sedar akan kesilapannya dan menghantar sendiri bubur kacang kepada Cik Punita.


Teknik Plot
i. Pemerian
Contoh: Memerihalkan peristiwa Puan Ainun mencuba resepi baharu, iaitu daging masak Minang.

ii. Dialog
Contoh: Perbualan antara Puan Ainun dengan Puan Cheng tentang masakan Puan Ainun di halaman rumah mereka.

iii. Imbas Kembali
Contoh: Puan Ainun mengingati kembali peristiwa dia tidak membeli produk barangan kesihatan yang dijual oleh Cik Punita
v. Monolog Dalaman
Contoh: Sewaktu Puan Ainun tertanya-tanya di dalam hati sebab Cik Punita tidak menerima pemberiannya.

vi. Monolog
Contoh: Puan Ainun mengeluh sendirian memikirkan perbuatan Cik Punita yang menolak pemberiannya.


Watak Utama

Puan Ainun
  • Isteri kepada Encik Hilal.
  • Ibu kepada Shafiq dan Hanif.
  • Berjiran dengan Cik Punita, Puan Cheng dan Puan Salbiah.
  • Mempunyai semangat kejiranan dan suka menolong jiran. Contoh : Sekiranya Cik Punita pulang ke kampungnya di Ipoh selama beberapa hari, Puan Ainun jugalah yang ringan tangan menolong menyiramkan pokok-pokok bunga di rumah Punita. Dia juga menolong mengawasi rumah jirannya itu agar sentiasa dalam keadaan yang selamat.
  • Seorang yang suka memasak dan mencuba sesuatu yang baharu. Contoh : Puan Ainun mencuba memasak daging masak Minang.
  • Seorang yang mudah kecil hati dan pendendam. Contoh: Puan Ainun kecil hati dan berdendam dengan Cik Punita kerana mengembalikan masakan pemberiannya.
  • Insaf akan kesilapannya. Contoh: Puan Ainun insaf atas kesilapannya berprasangka buruk terhadap Cik Punita.

Watak Sampingan

Cik Punita
  • Jiran Puan Ainun yang berketurunan India dan beragama Hindu.
  • Berusia 30-an tetapi belum berkahwin.
  • Fasih berbahasa Melayu.
  • Berasal dari Ipoh.
  • Menjual barangan kesihatan keluaran syarikat jualan langsung.
  • Patuh pada ajaran agamanya . Contoh : Cik Punita tidak makan daging lembu.
  • Mempunyai semangat kejiranan. Contoh : Cik Punita memberikan buah limau bali kepada keluaga Puan Ainun.

Encik Hilal
  • Suami kepada Puan Ainun.
  • Bapa kepada Shafiq dan Hanif.
  • Menasihati isterinya yang menghadapi masalah dengan jirannya.
  • Memahami dan menghormati adat budaya masyarakat kaum lain. Contoh: Dia menjelaskan bahawa penganut agama Hindu tidak makan daging lembu.

Latar Masa
i. Waktu pagi
Contoh: Puan Ainun menyidai pakaian di ampaian di halaman rumahnya.

ii. Waktu tengah hari
Contoh: Puan Ainun memasak daging masak Minang untuk makan tengah hari.

iii. Waktu petang
Contoh: Puan Ainun memasak bubur kacang untuk minum petang.

Latar Tempat
i. Rumah Puan Ainun.
Contoh: Tempat tinggal Puan Ainun, Encik Hilal, Shafiq dan Hanif.

ii. Kawasan Perumahan
Contoh: Terdapat rumah Puan Ainun, Puan Cheng, Puan Salbiah dan rumah sewa Punita.

Latar Masyarakat
i. Masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Contoh: Terdapat tiga kaum yang diwakili oleh Puan Ainun (Melayu), Puan Cheng (Cina) dan Cik Punita (India).

ii. Masyarakat yang mengamalkan semangat kejiranan .
Contoh: Puan Ainun sering bertukar-tukar makanan dengan jiran-jirannya dan menolong menyiram pokok-pokok bunga Cik Punita.

iii. Masyarakat yang prihatin terhadap adat, budaya dan agama kaum lain.
Contoh: Encik Hilal menjelaskan kepada Puan Ainun sebab Cik Punita tidak mahu menerima makanan pemberian Puan Ainun.


Gaya Bahasa
i.   Diksi. Contoh: Penggunaan bahasa Inggeris - best.
ii.  Perlambangan. Contoh: hatinya berasa kembang.
iii. Sinkope. Contoh : “ Tak ada. Semuanya saya dah beli semalam,” jawab Puan Ainun.
iv. Simile. Contohnya : Sakit hati Puan Ainun makin bertambah bagai dicucuk dengan duri.
v. Peribahasa. Contoh : Penggunaan pepatah, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.
vi. Kata Ganda. Contoh: Berhari-hari selepas itu Punita tidak juga pulang.


Nilai
i. Nilai tolong- menolong.
Contoh: Puan Ainun menolong menyiram pokok-pokok bunga Cik Punita sewaktu ketiadaan jirannya itu.

ii. Nilai bertanggungjawab.
Contoh: Puan Ainun menunaikan tanggungjawab menjaga hak-hak jiran seperti menolong mengangkat kain sewaktu ketiadaan Cik Punita.

iii. Nilai kepatuhan.
Contoh: Anak-anak Puan Ainun patuh pada arahannya supaya menghantar juadah kepada jiran-jirannya.

iv. Nilai keinsafan.
Contoh: Puan Ainun insaf akan kesilapannya berburuk sangka terhadap Cik Punita.

v. Nilai prihatin
Contoh: Encik Hilal prihatin terhadap adat dan budaya agama lain. Misalnya dia memberitahu Puan Ainun bahawa penganut agama Hindu tidak makan daging lembu.


Pengajaran
  1. Kita hendaklah menghormati jiran dan adat budaya kaum lain. Contohnya, Encik Hilal memberitahu Puan Ainun bahawa penganut agama Hindu tidak makan daging lembu.
  2. Kita mestilah tolong-menolong sesama jiran. Contohnya, anak-anak Puan Ainun menolong Cik Punita menyiram pokok-pokok bunga dan Puan Cheng menawarkan diri untuk menolong Puan Ainun membeli barang-barang kerana dia hendak ke kedai.
  3. Kita tidak boleh berprasangka buruk terhadap seseorang tanpa usul periksa. Contohnya, Puan Ainun menyangka Cik Punita memulangkan makanan kerana marah terhadapnya yang tidak membeli barangan yang dijual oleh Cik Punita.
  4. Kita hendaklah mendidik anak-anak dengan nilai-nilai yang baik. Contohnya, Puan Ainun mendidik Shafiq dan Hanif agar bertimbang rasa dan tolong-menolong sesama jiran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Elakkan meninggalkan komen sebagai Anonymous/Tanpa Nama. Pilih 'Nama/URL', isikan nama (Tidak perlu isikan URL) dan tekan 'Teruskan'.

Follow by Email