Selamat Singgah!

Assalamu'alaikum & Salam Sejahtera,

Selamat datang ke FunCrayons. Blog ini menyediakan material/bahan belajar tambahan untuk para pelajar kelas tuisyen kami. Kami dengan rendah diri ingin berkongsi dengan kalian semua.

Suka diingatkan di sini, apa yang kami kongsikan di sini ialah bahan-bahan yang kami rasakan sesuai dan dapat membimbing murid/pelajar. Blog ini tidak menawarkan khidmat untuk memberi nota penuh atau menyediakan karangan lengkap untuk menyiapkan tugasan sekolah mana-mana pelajar. Mohon budi bicara kalian agar tidak meninggalkan komen-komen yang tidak bermoral.

Gunakan bahan di blog ini sewajarnya dan dapatkan sumber rujukan lain untuk membantu anda belajar. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang masalah atau kesulitan yang anda alami ekoran bergantung sepenuhnya pada isi kandungan blog ini.

Jika ada masalah dengan sebarang pautan di blog ini, sila maklumkan kepada kami di ruangan komen entri berkenaan.

Sabtu, Julai 05, 2014

Kupasan Sajak Rumput (Khadijah Hashim)

SAJAK RUMPUT (Khadijah Hashim)
Baru saja hendak mendongak
aku sudah dipijak
baru saja hendak berbedak
diserbu debu menutup muka
cuaca panas angin kering
ditambah lagi bau busuk asap lori
sesak nafas bagai menunggu mati
mujur embun pagi membersih diri.

Baru saja tangan hendak menari
datang pemotong rumput
lalu dipotongnya jari doa
si pemotong rumput
cepat panjang
cepat dapat wang!
Nasib rumput di tepi jalan
tak sehijau rumput di padang


Tema 
Rintihan nasib seseorang yang dipandang rendah dan dipandang hina.
 
Persoalan
  1. Sikap hormat-menghormati sesama insan walaupun terhadap golongan yang kurang berkemampuan. Golongan yang berkedudukan tinggi sering tidak menghormati golongan miskin.
  2. Penghargaan kepada orang lain. Menghargai bakat seseorang itu walaupun miskin.
  3. Penindasan terhadap golongan bertaraf rendah. Golongan bertaraf rendah selalu menjadi alat untuk kepentingan golongan atasan.
  4. Cabaran dalam kehidupan. Walaupun berada dalam kesusahan dan keperitan, kelangsungan hidup perlu diteruskan.
Nada
Melankolik.
 
Bentuk 
(a)    Sajak ini berbentuk bebas.
(b)    Mengandungi tiga rangkap.
(c)    Baris-baris ayat dan rima akhir:

  • Rangkap 1 terdapat 8 baris ayat. Rima akhirnya aaabcddd.
  • Rangkap 2 terdapat 6 baris ayat. Rima akhirnya ababcc.
  • Rangkap 3 terdapat 2 baris ayat. Rima akhirnya ab.
Unsur-unsur Bunyi & Gaya Bahasa
 
Asonansi 
pengulangan vokal a - baru saja tangan hendak menari,
pengulangan vokal i - mujur embun pagi membersih diri,  Nasib rumput di tepi jalan.
pengulangan vokal u - diserbu debu menutup muka, tak sehijau rumput di padang.
 
Aliterasi
pengulangan konsonan b - baru saja hendak berbedak.
pengulangan konsonan n - cuaca panas angin kering.

Personifikasi
tangan hendak menari.
 
Sinkope
tak
 
Repetisi
frasa 'baru saja' diulang pada rangkap pertama baris 1 dan 3, rangkap kedua baris 1.
 
Anafora ( pengulangan kata pada awal baris).
cepat panjang cepat dapat wang!
 
Simile
bagai menunggu mati, sehijau rumput.
 
Nilai
 
(a)    Ketabahan. Contohnya, segala ujian dan rintangan dalam kehidupan dilalui dengan penuh ketabahan.
 
(b)   Kegigihan. Contohnya, sikap gigih mendorong seseorang untuk berusaha mencapai kejayaan meskipun serba kekurangan.
Pengajaran
 
(a)    Janganlah kita menghina orang yang susah atau miskin.
 
(b)   Kita perlu mengamalkan sikap hormat- menghormati, terutamanya terhadap golongan miskin.
 
(c)    Janganlah kita memandang rendah akan bakat seseorang.
 
(d)   Janganlah kita menutup peluang orang lain, terutamanya peluang golongan orang susah atau miskin.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Elakkan meninggalkan komen sebagai Anonymous/Tanpa Nama. Pilih 'Nama/URL', isikan nama (Tidak perlu isikan URL) dan tekan 'Teruskan'.

Follow by Email