Selamat Singgah!

Assalamu'alaikum & Salam Sejahtera,

Selamat datang ke FunCrayons. Blog ini menyediakan material/bahan belajar tambahan untuk para pelajar kelas tuisyen kami. Kami dengan rendah diri ingin berkongsi dengan kalian semua.

Suka diingatkan di sini, apa yang kami kongsikan di sini ialah bahan-bahan yang kami rasakan sesuai dan dapat membimbing murid/pelajar. Blog ini tidak menawarkan khidmat untuk memberi nota penuh atau menyediakan karangan lengkap untuk menyiapkan tugasan sekolah mana-mana pelajar. Mohon budi bicara kalian agar tidak meninggalkan komen-komen yang tidak bermoral.

Gunakan bahan di blog ini sewajarnya dan dapatkan sumber rujukan lain untuk membantu anda belajar. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang masalah atau kesulitan yang anda alami ekoran bergantung sepenuhnya pada isi kandungan blog ini.

Jika ada masalah dengan sebarang pautan di blog ini, sila maklumkan kepada kami di ruangan komen entri berkenaan.

Khamis, September 11, 2014

Sajak Orang Tua (Puspa Rani a/p Munusamy) - Maksud Sajak

SAJAK ORANG TUA (Puspa Rani a/p Munusamy)

Nampakkah kau
wanita tua di tepi jalan
mukanya comot rambutnya kusut
membawa bersamanya beg usang
berjalan ke sana ke mari
tanpa suatu destinasi

Nampakkah kau
lelaki tua di hujung jalan
kemejanya kotor seluarnya rabak
duduk di sudut tangga
menunggu sisa makanan restoran mamak
untuk mengalas perut yang kosong
Nampakkah kau
darah berlumuran di jalan raya
mayat si tua dibiarkan di situ
dan
di bilik mayat pula
tiada siapa datang menuntutnya.

Nampakkah ia sepertimu
mereka juga dicipta oleh-Nya
tetapi bezanya mereka diabaikan
ditinggalkan
oleh anak-anak jahil tidak berbudi
nampakkah kau?


Maksud sajak

Rangkap 1: Penyajak mempersoalkan keprihatinan kita terhadap nasib seorang wanita tua yang merempat di tepi jalan dalam keadaan yang tidak terurus. Wanita tua itu hilir mudik sambil membawa begnya yang buruk.

Rangkap 2: Penyajak mempersoalkan keprihatinan kita terhadap seorang lelaki tua yang begitu daif hidupnya. Lelaki tua itu tiada tempat kediaman atau tempat berlindung. Dia hanya duduk di sudut tangga menunggu sisa makanan daripada restoran mamak.

Rangkap 3: Penyajak mempersoalkan keprihatinan kita terhadap nasib orang tua yang terlibat dalam kemalangan jalan raya. Lebih menyayat hati apabila mayatnya tidak dihiraukan. Malah tiada waris yang menuntut mayatnya di bilik mayat.

Rangkap 4: Penyajak menjelaskan bahawa kita adalah serupa kerana kita semua ialah makhluk ciptaan Tuhan. Bezanya antara kita dengan orang tua itu ialah orang tua itu tidak dipedulikan oleh anak-anaknya. Hal ini disebabkan rendahnya moral dan hati budi anak-anaknya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Elakkan meninggalkan komen sebagai Anonymous/Tanpa Nama. Pilih 'Nama/URL', isikan nama (Tidak perlu isikan URL) dan tekan 'Teruskan'.

Follow by Email