Selamat Singgah!

Assalamu'alaikum & Salam Sejahtera,

Selamat datang ke FunCrayons. Blog ini menyediakan material/bahan belajar tambahan untuk para pelajar kelas tuisyen kami. Kami dengan rendah diri ingin berkongsi dengan kalian semua.

Suka diingatkan di sini, apa yang kami kongsikan di sini ialah bahan-bahan yang kami rasakan sesuai dan dapat membimbing murid/pelajar. Blog ini tidak menawarkan khidmat untuk memberi nota penuh atau menyediakan karangan lengkap untuk menyiapkan tugasan sekolah mana-mana pelajar. Mohon budi bicara kalian agar tidak meninggalkan komen-komen yang tidak bermoral.

Gunakan bahan di blog ini sewajarnya dan dapatkan sumber rujukan lain untuk membantu anda belajar. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang masalah atau kesulitan yang anda alami ekoran bergantung sepenuhnya pada isi kandungan blog ini.

Jika ada masalah dengan sebarang pautan di blog ini, sila maklumkan kepada kami di ruangan komen entri berkenaan.

Isnin, Mei 16, 2016

Mutiara Bonda - Kupasan (Antologi Harga Sebuah Lukisan)

Mutiara Bonda - Kupasan (Antologi Harga Sebuah Lukisan)

Sinopsis Mutiara Bonda di entri ini.


Tema                                                                                               
Kegigihan dan kesabaran seorang ibu mendidik anaknya hingga berjaya.


Persoalan

i.        Kasih sayang yang mendalam seorang ibu terhadap anaknya. 
Contoh: Bonda sangat menyayangi Mohd. Harraz walaupun anaknya itu sangat nakal dan degil.

ii.        Kepentingan ilmu pengetahuan dalam kehidupan.Contoh: Keempat-empat  orang anak bonda termasuk Mohd. Harraz berjaya hingga ke puncak menara gading.

iii.        Keciciran pelajar luar bandar.Contoh:  Mohd. Harraz pernah berhenti sekolah ketika berada di darjah enam.

iv.        Gejala sosial dalam kalangan remaja.
Contoh: Mohd. Harraz merokok dan rakan-rakannya  yang tidak bersekolah terjebak dalam penagihan ganja.

v.        Tekanan  hidup anak bekas banduan.
Contoh:  Mohd. Harraz menghadapi tekanan kerana bapanya pernah dipenjarakan akibat dituduh terlibat dalam kes dadah.

vi.       Menyedari kesilapan diri.
Contoh: Mohd. Harraz merubah jalan hidup setelah sedar dirinya terjebak dengan gejala tidak sihat.



Plot
i.        Permulaan
Pembaca diperkenalkan dengan watak bonda yang  sangat  gembira menerima surat daripada anaknya, Mohd. Harazz, yang digelar adik sedang melanjutkan pelajaran  di Jordan. Bonda mengimbas kembali saat-saat  membesarkan adik dari kecil sehinggalah adik berjaya menjejakkan kaki ke menara gading. Ketika  Mohd. Harraz berusia 10 hingga 12 tahun, dia sangat nakal dan degil.

ii.        Perkembangan
Pada bahagian ini, penulis menggambarkan kenakalan dan kedegilan Mohd. Harraz sehingga  dia mengambil keputusan berhenti sekolah ketika berada dalam darjah enam. Namun ibunya tetap sabar melayani kerenahnya itu.

iii.        Puncak
Mohd Harraz terlibat dalam kemalangan jalan raya. Dia kemudiannya dimaklumkan oleh bonda bahawa pondok di dusun yang selalu dikunjungi oleh Mohd. Harraz telah diserbu oleh pihak polis. Mohd. Harraz bernasib baik kerana dia tidak berada di situ ketika serbuan tersebut dibuat.

iv.        Peleraian
Mohd. Harraz sedar akan kesilapannya. Setelah insaf,  dia menyatakan hasrat untuk menyambung pelajarannya semula. Berkat tekad dan kegigihannya, Mohd. Harraz berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Bayt, Jordan.


Teknik Plot

i.        Pemerian
Contoh: Pengarang memerihalkan keadaan bonda yang gembira apabila mendapat warkah perkhabaran daripada adik di Jordon.

ii.        Dialog
Contoh: Perbualan antara bonda dengan adik sewaktu bonda menegah Mohd. Harraz keluar berjumpa dengan kawan-kawannya sebelum kemalangan berlaku.

iii.        Imbas Kembali
Contoh: Bonda mengingati semula kehidupan Mohd. Harraz pada waktu kecil terutamanya  ketika dia berusia 12 tahun. Mohd. Harraz berhenti sekolah ketika dalam darjah enam dan kemudian menyambung semula persekolahan setelah terlibat dengan kemalangan jalan raya.

iv.        Kejutan
Contoh:  Mohd. Harraz terlibat patah tangan kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya.

v.        Saspens
Contoh: Pembaca tertanya-tanya sama ada Mohd. Harraz akan berubah sikap selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya atau tidak.

vi.        Konflik
Contoh: Mohd. Harraz memberitahu bonda bahawa dia mahu berhenti sekolah. Kak Cik tidak bersetuju malah tidak berpuas hati dengan sikap ibu yang selalu mengikutkan sahaja kehendak adiknya itu.


Watak utama

Adik
  • Nama penuhnya Mohd. Harraz bin Lebai Sidi.
  • Anak lelaki tunggal daripada empat orang adik-beradik.
  • Anak kesayangan bonda.
  • Degil dan keras hati - Adik berkeras keluar berjumpa rakan-rakannya kendatipun telah dilarang oleh kakak dan ibunya kerana telah lewat malam.
  • Malas bersekolah dan terlibat dalam masalah sosial - Adik berhenti sekolah semasa darjah enam dan mula merokok. Berkawan dengan budak-budak yang menghisap ganja.
  • Panas baran - Ketika adik meminta wang RM 5.00 kepada bonda untuk membeli mercun, adik telah menghempas cawan kaca sehingga serpihannya terkena kaki bonda setelah  bonda enggan memberikannya.
  •  Sedar/insaf akan kesalahan yang dilakukan - Adik insaf akan kesalahannya setelah terbabit dengan kemalangan jalan raya.
  • Pintar dan berpelajaran tinggi - Adik berjaya melanjutkan pelajarannya di Universiti al-Bayt, Jordan.


Watak Sampingan

Bonda
  • Ibu tunggal yang merupakan seorang balu.
  • Kematian suami dan terpaksa menyara diri dan anak-anak.
  • Mempunyai empat orang anak, tiga perempuan dan seorang lelaki.
  • Gigih membesarkan anak-anak - Bonda gigih membesarkan anak-anaknya setelah kematian suaminya.
  • Mempunyai impian dan keyakinan yang tinggi bahawa anak-anaknya akan berjaya dalam hidup - Bonda percaya bahawa suatu hari nanti anaknya Mohd. Harraz akan berubah dan peristiwa tersebut betul-betul berlaku.
  • Sangat sabar menghadapi kerenah anak lelaki tunggalnya - Bonda tetap bersabar dengan kerenah adik di usia kecilnya yang nakal dan sangat degil.

Kak Cik
  • Anak ketiga daripada empat orang adik-beradik.
  • Kurang sabar dan agak pemarah dengan kerenah adiknya - Kak Cik menampar adik ketika mereka bertengkar.
  • Anak yang bertanggungjawab - Kak Cik sering menenangkan bonda apabila bonda kesedihan.


Latar

Latar Masa

i.        Waktu pagi
Contoh: Pada waktu pagi, pemandu van akan membunyikan hon apabila adik lambat bersiap untuk ke taski.

ii.        Waktu senja
Contoh: Bonda berdoa kepada Tuhan (Malikul Qudus) semoga adik berubah sikap.

iii.        Waktu malam
Contoh: Pada pukul 12.30 malam, adik keluar dari rumah dan terlibat dalam kemalangan jalan raya.


Latar  Tempat

i.        Rumah Bonda
Contoh: Peristiwa adik menghempas cawan kaca lalu serpihannya terkena ibu jari kaki bonda sehingga terluka.

ii.        Pondok di dusun
Contoh: Peristiwa polis telah menyerbu pondok di dusun yang menjadi tempat kawan-kawan adik berkumpul dan menghisap ganja.

iii.        Atas katil
Contoh: Adik terlantar lesu di katil dengan kepalanya berbalut. Mukanya calar-balar rentetan daripada kemalangan yang dihadapinya.


Latar Masyarakat                                                                                                   

i.        Masyarakat yang gigih mendidik anak.
Contoh: Bonda gigih mendidik adik yang degil, nakal dan terlibat dengan masalah sosial.

ii.        Masyarakat yang mementingkan ilmu pengetahuan.
Contoh: Bonda menyekolahkan anak-anaknya sehingga ke peringkat universiti.

iii.        Masyarakat yang mementingkan nilai kasih sayang.
Contoh: Bonda tetap menyayangi adik walaupun adik selalu menyakiti hatinya  terutamanya apabila adik mahu berhenti sekolah.


Gaya Bahasa
  • Hiperbola
melangit tinggi
berasap-asap bara meluat
  • Personifikasi
tikaman masa lampau yang menajam di ingatan
berterjunan di pipi
  • Simile
ibarat pengumpul setem yang mengoyakkan setem duka dan sampul kehidupan
perangainya persis syaitan  
  • Sinkope - “Bonda yang berdosa sebab tak pandai ajar anak”
  • Pengulangan - tidak pernah dicubit, tidak pernah ditengking
  • Peribahasa
bersengkang mata
mengembalikan manikam ke dalam cembulnya
  • Metafora - puncak harapan, setem duka, sampul kehidupan
  • Bahasa Arab - Rabbul Jalil


Nilai

i.        Nilai kasih sayang. 
Contoh: Bonda amat menyayangi anak-anaknya .

ii.        Nilai bertanggungjawab. 
Contoh: Bonda bertanggungjawab mendidik dan membesarkan anak-anak setelah kematian suaminya.

iii.        Nilai kesabaran.
Contoh: Bonda sangat sabar mendidik anak-anaknya  terutama anak lelakinya, Mohd. Harraz yang bermasalah.

iv.        Nilai kegigihan.
Contoh: Bonda begitu gigih mendidik adik sejak adik kecil sehingga  berjaya walaupun berhadapan dengan pelbagai dugaan.

v.        Nilai keinsafan.
Contoh: Adik insaf atas kesilapannya setelah terlibat dalam kemalangan dan mahu belajar semula.

vi.        Nilai ketabahan.
Contoh: Bonda tetap  tabah apabila suaminya dituduh mengedar dadah sehingga meninggal dunia dalam penjara.


Pengajaran

i.        Kita hendaklah gigih dan tidak berputus asa dalam mendidik anak-anak.
Contoh: Bonda gigih mendidik adik yang bermasalah sehingga akhirnya menjadi orang yang berjaya.

ii.        Kita mestilah bertanggungjawab terhadap anak-anak.
Contoh: Walaupun bonda seorang ibu tunggal namun bonda bertanggungjawab mendidik, membesar dan memberi kasih sayang terhadap anak-anaknya.

iii.        Kita mestilah berusaha untuk mengatasi masalah keciciran pelajar luar bandar.
Contoh: Adik berhenti sekolah ketika  darjah enam.

iv.        Kita hendaklah mementingkan hubungan kasih sayang dalam keluarga.
Contoh: Kak Cik mendakap bonda erat-erat semasa bonda menangis selepas melihat tindakannya menampar adik.

v.        Kita haruslah sabar dalam menghadapi setiap kerenah ahli keluarga.
Contoh: Bonda sangat sabar mendidik anak-anaknya  terutama anak lelakinya, Mohd. Harraz yang bermasalah.

vi.        Kita haruslah tabah menghadapi dugaan.
Contoh: Bonda tetap tabah apabila suaminya dituduh mengedar dadah sehingga meninggal dunia di dalam penjara.


Entri lain KOMSAS Tingkatan 3 PT3 2016 di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Elakkan meninggalkan komen sebagai Anonymous/Tanpa Nama. Pilih 'Nama/URL', isikan nama (Tidak perlu isikan URL) dan tekan 'Teruskan'.

Follow by Email