Selamat Singgah!

Assalamu'alaikum & Salam Sejahtera,

Selamat datang ke FunCrayons. Blog ini menyediakan material/bahan belajar tambahan untuk para pelajar kelas tuisyen kami. Kami dengan rendah diri ingin berkongsi dengan kalian semua.

Suka diingatkan di sini, apa yang kami kongsikan di sini ialah bahan-bahan yang kami rasakan sesuai dan dapat membimbing murid/pelajar. Blog ini tidak menawarkan khidmat untuk memberi nota penuh atau menyediakan karangan lengkap untuk menyiapkan tugasan sekolah mana-mana pelajar. Mohon budi bicara kalian agar tidak meninggalkan komen-komen yang tidak bermoral.

Gunakan bahan di blog ini sewajarnya dan dapatkan sumber rujukan lain untuk membantu anda belajar. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang masalah atau kesulitan yang anda alami ekoran bergantung sepenuhnya pada isi kandungan blog ini.

Jika ada masalah dengan sebarang pautan di blog ini, sila maklumkan kepada kami di ruangan komen entri berkenaan.

Jumaat, Jun 24, 2016

Harga Sebuah Lukisan - Kupasan

Harga Sebuah Lukisan
Antologi Harga Sebuah Lukisan
KOMSAS PT3 2016
TEMA
Keluhuran hati dalam persahabatan. Keluhuran hati Kamal Hijaz tatkala dia bersikap tenang dan bersedia memaafkan Maryati yang telah mengkhianatinya.


PERSOALAN
i. Bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkara.
Contoh : Kamal Hijaz membelek-belek buku kumpulan lukisan untuk mencari idea yang bakal dijadikan inspirasi dalam pertandingan melukis.

ii. Keharmonian dalam kehidupan bersahabat.
Contoh : Ketika berada di taman mini sekolah, Kamal Hijaz didatangi oleh Maryati dan Norlela. Mereka bertegur sapa dan dengan berbual mesra.

iii. Baik hati dan pemurah.
Contoh : Maryati mengeluarkan bekas makanan lalu mengajak Kamal Hijaz makan bersama.

iv. Kecekalan berdepan cabaran hidup.
Contoh : Meskipun menghadapi kesukaran melukis akibat perbuatan khianat seorang kawan, Kamal Hijaz masih mampu bertenang dan meneruskan lukisannya dengan yakin dan berjaya.

v. Keinsafan akibat kesilapan yang dilakukan.
Contoh : Maryati berasa bersalah dan menginsafi kesalahannya mengkhianati Kamal Hijaz dan seterusnya dia meminta maaf.

vi. Kemuliaan hati dalam memaafkan seseorang.
Contoh : Kamal Hijaz memaafkan kesalahan Maryati yang mengkhianatinya dan menghadiahkan sebuah lukisan.



PLOT
i. Permulaan
Kamal Hijaz membelek-belek buku kumpulan lukisan untuk mencari ilham yang akan dilukiskan dalam pertandingan melukis yang akan disertainya. Pembaca diperkenalkan dengan watak Kamal Hijaz sebagai pelajar yang berbakat dalam lukisan di sekolahnya.

ii. Perkembangan
Kamal Hijaz duduk bersandar di bangku simen terazo di taman mini sekolah. Dia didatangi oleh Maryati dan Norlela. Mereka bertegur sapa dan usik-mengusik tentang isu yang berkisar dengan pertandingan melukis yang akan disertai oleh mereka sebentar lagi. Sejurus kemudian, Maryati mengeluarkan bekas makanan dan mengajak Kamal Hijaz makan bersama-sama mereka. Pada mulanya, Kamal Hijaz agak keberatan dan malu untuk menerima pelawaan Maryati, tetapi atas permintaan mereka untuk kali yang terakhir, Kamal Hijaz mengalah. Setelah selesai makan, Kamal Hijaz dan Norlela pergi ke kantin untuk mencuci pinggan dan gelas.

iii. Puncak
Pertandingan melukis bermula, Kamal Hijaz keresahan kerana kertas lukisannya telah disabotaj sehingga sukar untuk diwarna. Dia terpaksa menukar kertas lukisan. Lantas dia mengubah fikiran, lalu melukis gambaran Hang Tuah bertikam dengan Hang Jebat. Tatkala itu, fikirannya berkonflik, berfikir tentang kisah sejarah Hang Tuah dan Hang Jebat. Pada perhimpunan mingguan di sekolah, dia dinobatkan sebagai pemenang Pertandingan Melukis Peringkat Daerah, manakala Maryati mendapat tempat kedua.

iv. Peleraian
Pada hari terakhir persekolahan, Kamal Hijaz diberi peluang memberikan ucapan perpisahan. Ucapannya telah membuatkan hati Maryati tersentuh. Maryati berasa bersalah dan kesal. Lantas, dia pergi menemui Kamal Hijaz untuk meminta maaf. Kamal Hijaz memaafkan Maryati dan menghadiahkan sebuah lukisan.


TEKNIK PLOT
i. Pemerian
Penulis memerihalkan peristiwa ketika Kamal Hijaz yang dicemburui oleh kawan-kawannya kerana kebolehannya melukis.

ii. Monolog Dalaman
Contoh: Penulis menggambarkan Kamal Hijaz bermonolog dalaman semasa melukis gambaran pahlawan sedang bertikam di pertandingan melukis peringkat daerah.

iii. Dialog
Contoh: Teknik ini digunakan semasa Maryati meminta maaf kerana telah mengkianati Kamal Hijaz semasa pertandingan melukis.


WATAK DAN PERWATAKAN

Watak Utama

Kamal Hijaz
i. Pelajar Tingkatan 2 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sirusa.
ii. Berbakat dan berminat dalam lukisan dan sentiasa mendapat markah A dalam Mata Pelajaran Lukisan.
iii. Pelajar yang berusaha dengan gigih. Dia tekun mencari ilham sebagai persediaan menyertai pertandingan melukis.
iv. Berjiwa mulia kerana menyumbangkan hadiah yang diperoleh kepada PIBG bagi membantu rakan-rakan yang kurang bernasib baik.
v. Tabah dan tenang ketika menghadapi masalah. Dia tetap bersabar dan meneruskan lukisannya yang kedua sehingga berjaya.
vi. Bersikap terbuka dan pemaaf. Dia memaafkan Maryati yang telah mengkhianatinya.


Watak Sampingan

Maryati
i. Rakan kepada Kamal Hijaz.
ii. Seorang yang peramah dan mudah mesra. Hal ini terserlah sewaktu dia dan Norela bertemu dengan Kamal Hijaz sebelum pertandingan melukis.
iii. Berjiwa kecil. Dia sanggup menggunakan taktik kotor untuk mengalahkan Kamal Hijaz dalam pertandingan melukis.
iv. Mudah insaf dan menyesali kesilapannya. Dia berasa bersalah dan meminta maaf kepada Kamal Hijaz atas kesalahannya menukar kertas lukisan.

Norlela
i. Kawan kepada Maryati dan Kamal Hijjaz.
ii. Peramah dan mudah mesra.


GAYA BAHASA

i. Peribahasa
Contoh : Membulatkan hatinya

ii. Hiperbola
Contoh : Menusuk rongga hidung

iii. Pengaruh bahasa asing
Contoh : Penggunaan bahasa Inggeris - water colour

iv. Simile
Contoh : macam nenek kebayan

v. Kata ganda
Contoh : Kamal Hijaz merenung muka Maryati dan Norlela bergilir-gilir.


LATAR
Latar Masa
i. Hari Isnin.
Hari Perhimpunan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sirusa.
Contoh: Pengetua menyampaikan amanatnya dan mengumumkan keputusan
pertandingan yang diadakan.

ii. Hari Sabtu.
Hari cuti persekolahan.
Contoh : Pada hari pertandingan melukis di Sekolah Menengah Kebangsaan Sirusa.

iii. Dua minggu.
Contoh : Tempoh antara hari pertandingan melukis dengan pengumuman keputusan pertandingan diumumkan.

iv. Tiga hari
Contoh : Tempoh Kamal Hijaz berlatih melukis gambar pemandangan di sawah padi dan gambaran dua pahlawan sedang bertikam.

Latar Tempat
i. Sekolah Menengah Kebangsaan Sirusa. Tempat pertandingan melukis dijalankan.
Contoh : Di Sekolah Menengah Kebangsaan itulah akan dilangsungkan pertandingan melukis itu.

ii. Taman mini sekolah. Tempat Kamal Hijaz menunggu sebelum pertadingan dimulakan.
Contoh : Kamal Hijaz duduk bersandar pada bangku simen terazo yang terletak berhampiran taman mini sekolah.

iii. Kantin sekolah. Latar tempat yang digunakan watak untuk membersihkan bekas
makanan.
Contoh :“Kalau sudah begitu kata kamu, terpulanglah. Tapi, Norlela tentu boleh membantu kamu mencuci pinggan dan gelas di kantin,”

Latar Masyarakat
i. Golongan pendidik. Golongan yang berilmu dan bertanggungjawab mendidik anak-anak tempatan.
Contoh : Cikgu Salina yang memaklumkan kepada pelajar tentang pertandingan melukis peringkat daerah.

ii. Golongan pelajar. Sekumpulan anak-anak yang menuntut ilmu secara formal di sekolah.
Contoh : Kamal Hijaz, Maryati dan Norlela merupakan contoh murid yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sirusa.

iii. Golongan yang gigih berusaha.. Terdapat individu yang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk berjaya.
Contoh : Tiga hari Kamal Hijaz berlatih melukis gambar pemandangan di sawah padi dan gambaran pahlawan sedang bertikam.

iv. Golongan yang sanggup mengkhianati orang lain. Terdapat individu yang sanggup mengkhianati kawan demi kepentingan sendiri, tidak terkecuali pelajar.
Contoh : Maryati sanggup menukar kertas lukisan Kamal Hijaz sebelum pertandingan bermula.


NILAI MURNI
i. Nilai persahabatan.
Contoh : Meskipun Maryati pernah mengkhianati Kamal Hijaz, mereka tetap bersahabat dan akan terus bertukar-tukar kertas soalan setelah mereka berpisah nanti.

ii. Nilai ketabahan.
Contoh : Ketabahan Kamal Hijaz sewaktu menghadapi masalah dengan kertas lukisannya. Dia tetap tabah dan gigih meneruskan lukisan keduanya.

iii. Nilai kesabaran.
Contoh : Kesabaran Kamal Hijaz menerima pengakuan Maryati yang menukar kertas lukisannya sebelum pertandingan melukis.

iv. Nilai kegigihan.
Contoh : Kamal Hijaz membelek helaian buku lukisan, dan berlatih tiga hari melukis pemandangan di sawah padi dan pahlawan sedang bertikam.


PENGAJARAN
i. Kita hendaklah bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu pekerjaan.
Contoh : Kamal Hijaz membelek-belek buku kumpulan lukisan untuk mencari idea yang akan dilukiskan dalam pertandingan melukis.

ii. Kita hendaklah bersifat pemurah.
Contoh : Maryati mengeluarkan bekas makanan dan mengajak Kamal Hijaz makan bersama-sama mereka.

iii. Kita janganlah mudah berputus asa.
Contoh : Kendatipunpun menghadapi kesukaran melukis akibat daripada kertas lukisannya yang dikhianati, Kamal Hijaz masih tenang dan bersemangat meneruskan lukisannya dengan yakin.

iv. Kita hendaklah menginsafi dan berani mengakui kesilapan sendiri.
Contoh : Maryati berasa bersalah dan insaf akan kesalahannya mengkhianati Kamal Hijaz dan seterusnya dia meminta maaf.

v. Kita hendaklah menjadi seorang yang pemaaf.
Contoh : Kamal Hijaz memaafkan kesalahan Maryati yang telah mengkhianatinya dan menghadiahkan sebuah lukisan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Elakkan meninggalkan komen sebagai Anonymous/Tanpa Nama. Pilih 'Nama/URL', isikan nama (Tidak perlu isikan URL) dan tekan 'Teruskan'.

Follow by Email