Selamat Singgah!

Assalamu'alaikum & Salam Sejahtera,

Selamat datang ke FunCrayons. Blog ini menyediakan material/bahan belajar tambahan untuk para pelajar kelas tuisyen kami. Kami dengan rendah diri ingin berkongsi dengan kalian semua.

Suka diingatkan di sini, apa yang kami kongsikan di sini ialah bahan-bahan yang kami rasakan sesuai dan dapat membimbing murid/pelajar. Blog ini tidak menawarkan khidmat untuk memberi nota penuh atau menyediakan karangan lengkap untuk menyiapkan tugasan sekolah mana-mana pelajar. Mohon budi bicara kalian agar tidak meninggalkan komen-komen yang tidak bermoral.

Gunakan bahan di blog ini sewajarnya dan dapatkan sumber rujukan lain untuk membantu anda belajar. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang masalah atau kesulitan yang anda alami ekoran bergantung sepenuhnya pada isi kandungan blog ini.

Jika ada masalah dengan sebarang pautan di blog ini, sila maklumkan kepada kami di ruangan komen entri berkenaan.

Selasa, Oktober 04, 2016

Soalan Latihan Pantun Alam Remaja (Latihan 2)

Pantun Alam Remaja 
Antologi Baik Budi Indah Bahasa 
(Tingkatan 2)

Elok rupanya kumbang jati,
Dibawa itik pulang petang;
Tidak terkatakan besar hati,
Melihat ibu sudah pulang.

Dibawa itik pulang petang,
Dapat di rumput bilang-bilang;
Melihat ibu sudah pulang,
Hati cemas menjadi hilang.

Ayam kinantan terbang mengekas,
Hinggap di ranting bilang-bilang;
Melihat bonda pulang lekas,
Hatiku besar bukan kepalang.

Kita menari keluar bilik,
Sebarang tari kita tarikan;
Kita menyanyi adik-beradik,
Sebarang nyanyi kita nyanyikan.


Hanyut batang berlilit kumpai,
Terdampar di ujung Tanjung Jati;
Bonda pulang bapa pun sampai,
Kita semua berbesar hati.

Ramai orang bersorak-sorak,
Menepuk gendang dengan rebana;
Alang besarnya hati awak,
Mendapat baju dengan celana.

Mahulah kami hendak melapun,
Lapun dibawa orang menjaja;
Jangan marah kami berpantun,
Budak kecil biasa manja.


Puisi Melayu Tradisi,
Disunting oleh Mohd. Yusof Md. Nor dan Dr. Abd. Rahman Kaeh
Penerbit Fajar Bakti, 1996.


(i) Mengapakah anak-anak sentiasa menunggu kepulangan ibu bapa mereka? [3 markah]

(ii) Pelbagai unsur gaya bahasa digunakan dalam Pantun Alam Remaja. Nyatakan dua gaya bahasa yang terdapat dalam pantun tersebut beserta contoh yang sesuai. [3 markah]

(iii) Setiap insan mengimpikan sebuah keluarga yang bahagia. Pada pendapat anda, bagaimanakah cara untuk mewujudkan keluarga yang bahagia? [4 markah]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Elakkan meninggalkan komen sebagai Anonymous/Tanpa Nama. Pilih 'Nama/URL', isikan nama (Tidak perlu isikan URL) dan tekan 'Teruskan'.

Follow by Email