Selamat Singgah!

Assalamu'alaikum & Salam Sejahtera,

Selamat datang ke FunCrayons. Blog ini menyediakan material/bahan belajar tambahan untuk para pelajar kelas tuisyen kami. Kami dengan rendah diri ingin berkongsi dengan kalian semua.

Suka diingatkan di sini, apa yang kami kongsikan di sini ialah bahan-bahan yang kami rasakan sesuai dan dapat membimbing murid/pelajar. Blog ini tidak menawarkan khidmat untuk memberi nota penuh atau menyediakan karangan lengkap untuk menyiapkan tugasan sekolah mana-mana pelajar. Mohon budi bicara kalian agar tidak meninggalkan komen-komen yang tidak bermoral.

Gunakan bahan di blog ini sewajarnya dan dapatkan sumber rujukan lain untuk membantu anda belajar. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang masalah atau kesulitan yang anda alami ekoran bergantung sepenuhnya pada isi kandungan blog ini.

Jika ada masalah dengan sebarang pautan di blog ini, sila maklumkan kepada kami di ruangan komen entri berkenaan.

Ahad, November 06, 2016

Pelanduk Mengajar Memerang, Baik Budi Indah Bahasa (Tingkatan 2) - Kupasan Bahagian 1

Pelanduk Mengajar Memerang, 
Baik Budi Indah Bahasa (Tingkatan 2)

Kupasan Bahagian 1 
Dapatkan Sinopsis di sini dan Kupasan Bahagian 2 di sini.


TEMA
Balasan terhadap golongan yang menganiayai golongan lain. Hal ini digambarkan melalui kisah memerang yang menganiayai anak-anak Sang Sebarau. Sebagai balasannya, dengan takdir Allah, semua anak Sang Memerang terbunuh selepas dipijak oleh Syah Alam di Rimba.


PERSOALAN
  1. Sikap tamak yang ingin memperoleh sesuatu dengan banyak tanpa memikirkan nasib pihak lain. 
  2. Melaporkan masalah yang dihadapi kepada pihak yang berkuasa. 
  3. Pengadilan memerlukan saksi. 
  4. Kebijaksanaan dan keadilan dalam menyelesaikan masalah. 
  5. Bercakap benar dan tidak menyembunyikan kebenaran terutamanya di hadapan pemerintah.
  6. Mengakui kesalahan yang dilakukan.
  7. Bertanggungjawab atas kesalahan yang dilakukan.
  8.  Sentiasa bersedia untukmelindungi dan menyelamatkan pemerintah. 
 PLOT

Permulaan
Syah Alam di Rimba yang pergi melawat kawasan wilayah pemerintahannya terserempak dengan anak-anak memerang yang sedang bermain-main. Dia bertanya kepada anak-anak memerang itu tentang keberadaan ibu dan bapa memerang. Anak-anak memerang memaklumkan ibu dan bapa mereka pergi mencari ikan untuk dijadikan makanan. Syah Alam di Rimba terfikir bahawa memerang selalu melakukan penganiayaan terhadap ikan-ikan di rimba itu. Ikan-ikan telah mengadu kepada Nabi Allah Sulaiman. Syah Alam di Rimba tidak senang mendengar pengaduan ikan-ikan tersebut lalu dia berhajat untuk membuat pakatan. Dengan tidak semena-mena, burung bubut berbunyi secara bersahut-sahutan. Apabila mendengar bunyi itu, Syah Alam di Rimba terus bersilat. Tanpa sedar, Syah Alam di Rimba telah memijak anak-anak memerang sehingga kesemua anak memerang itu mati.

Perkembangan
Setelah hari petang, ibu dan bapa memerang pulang. Mereka berasa amat sedih tatkala melihat kesemua anak mereka mati. Memerang mengetahui bahawa Syah Alam di Rimba yang melakukan perkara tersebut berdasarkan kesan tapak kaki Syah Alam di Rimba di kawasan itu. Ibu dan bapa memerang mengadakan perbincangan lalu membuat keputusan untuk memaklumkan kejadian tersebut kepada Nabi Allah Sulaiman.

Klimaks
Keesokan harinya, ibu dan bapa memerang pergi bertemu Nabi Allah Sulaiman. Mereka mengadu tentang perbuatan Syah Alam di Rimba yang mengakibatkan kematian anak-anak memerang. Setelah baginda mendengar pengaduan tersebut, baginda berasa hairan dengan kelakuan Syah Alam di Rimba lalu baginda membuat keputusan untuk mengadakan perbicaraan. Oleh itu, kesemua haiwan yang terlibat dalam hal yang menyebabkan kematian anak-anak memerang telah dipanggil. Kesemua haiwan yang dipanggil oleh Nabi Allah Sulaiman membuat kenyataan dengan jujur tentang apa yang telah berlaku.

Peleraian
Setelah Nabi Allah Sulaiman mendengar semua kenyataan haiwan-haiwan yang terlibat, baginda telah memerintahkan Sang Memerang untuk membuat pengakuan di hadapan baginda. Ketakutan, Sang Memerang menurut perintah dan mengaku salah. Akhir sekali, Nabi Allah Sulaiman membuat keputusan bahawa dalam hal tersebut, Syah Alam di Rimba tidak bersalah. Kematian anak-anak Sang Memerang adalah disebabkan kesalahan yang dilakukan oleh Sang Memerang sendiri yang telah membuat penganiayaan terhadap anak-anak Sang Seberau.


TEKNIK PLOT
  • Dialog. Contoh:
"Hai kanak-kanak, ke manakah pergi mak bapa kamu?"
"Hai Syah Alam di Rimba, Nabi Allah Sulaiman memanggil segera ke balai penghadapan."
"Hai Sang Udang, yakah engkau mudik ini membawa tombak bercanggah? Musuh yang mana akan datang?"

  • Monolog dalaman. Contoh:
Fikir Syah Alam di Rimba, "Itulah akan memerang ini, selalu saja ia membuat aniaya atas ikan-ikan itu, terlalu rungsing hatiku mendengar pengaduannya kepada Nabi Allah Sulaiman; jikalau begitu, baiklah aku berbuat pakatan pula dengan dia."

  • Pemerian. Contoh:
Seketika lagi hari pun siang. Memerang laki bini lepas makan ia pun pergilah menghadap Nabi Allah Sulaiman. Kepada masa itu Nabi Allah Sulaiman pun bersemayam di atas takhta singgahsana kerajaan di hadapan menteri hulubalang rakyat tentera tiada terpermanai banyaknya, aneka jenis manusia dan jin binatang behamparan duduk di tanah menghadap baginda itu, bermacam-macam aduan teriak mereka itu, semuanya diselesaikan Nabi Allah.

Setelah didengar akan sembah Syah Alam di Rimba itu, Nabi Allah Sulaiman pun bertitah kepada belatuk menyuruh memanggil Sang Bubut. Belatuk pun menyembah lalu pergi mendapatkan Sang Bubut.

 Dapatkan material Baik Budi Indah Bahasa yang lain di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Elakkan meninggalkan komen sebagai Anonymous/Tanpa Nama. Pilih 'Nama/URL', isikan nama (Tidak perlu isikan URL) dan tekan 'Teruskan'.

Follow by Email