Selamat Singgah!

Assalamu'alaikum & Salam Sejahtera,

Selamat datang ke FunCrayons. Blog ini menyediakan material/bahan belajar tambahan untuk para pelajar kelas tuisyen kami. Kami dengan rendah diri ingin berkongsi dengan kalian semua.

Suka diingatkan di sini, apa yang kami kongsikan di sini ialah bahan-bahan yang kami rasakan sesuai dan dapat membimbing murid/pelajar. Blog ini tidak menawarkan khidmat untuk memberi nota penuh atau menyediakan karangan lengkap untuk menyiapkan tugasan sekolah mana-mana pelajar. Mohon budi bicara kalian agar tidak meninggalkan komen-komen yang tidak bermoral.

Gunakan bahan di blog ini sewajarnya dan dapatkan sumber rujukan lain untuk membantu anda belajar. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang masalah atau kesulitan yang anda alami ekoran bergantung sepenuhnya pada isi kandungan blog ini.

Jika ada masalah dengan sebarang pautan di blog ini, sila maklumkan kepada kami di ruangan komen entri berkenaan.

Ahad, Januari 15, 2017

Menuai Emas, Antologi Baik Budi Indah Bahasa - Kupasan (Bahagian 1)

Menuai Emas
Antologi Baik Budi Indah Bahasa


Kupasan Bahagian 1 

TEMA
Kemajuan dalam bidang pertanian, iaitu penanaman padi. Bidang penanaman padi sering diperkecil malah diperlekeh oleh masyarakat sebagai suatu aktiviti yang tidak mendatangkan keuntungan. Tanggapan ini meleset sama sekali. Dengan ilmu dan sikap positif yang dimiliki oleh Alif dan keluarganya, kemajuan dalam bidang penanaman padi tersebut dapat dicapai.


PERSOALAN
  • Penjualan tanah sawah untuk dijadikan projek perumahan.
  • Bidang pertanian, iaitu penanaman padi jika diusahakan dengan betul boleh mendatangkan kemajuan ekonomi. 
  • Ilmu, kegigihan, ketekunan yang diiringi dengan doa dan kesabaran akan menghasilkan kejayaan. 
  • Lulusan universiti tidak semestinya bekerja makan gaji sahaja.
  • Kebanyakan golongan muda dari kampung sudah tidak berminat untuk mengusahakan penanaman padi. 
  • Muafakat bawa berkat. 


WATAK DAN PERWATAKAN

Alif
  • Anak kepada Mak Wan.
  • Berkelulusan universiti dalam bidang ekonomi.
  • Seorang anak muda yang berwawasan tinggi.
  • Seorang yang sabar, reda, dan sentiasa bersyukur.
  • Berani menghadapi cabaran serta yakin akan kebolehan diri sendiri.
  • Seorang anak yang menghormati ibu bapa.
  • Terlalu sayang akan ibu dan ayahnya.
  • Seorang yang positif dan optimistik.
  • Seorang petani moden.

Mak Wan
  • Ibu kepada Alif.
  • Tegas.
  • Teguh pendirian.
  • Tidak mudah terpengaruh dengan kata-kata orang lain.
  • Sayang akan tanah milik keluarga mereka.
  • Sensitif.

Tuk Ketua
  • Penyabar.
  • Berhemah tinggi.
  • Tenang ketika menghadapi masalah.
  • Mempunyai ciri-ciri kepemimpinan yang baik.
  • Sentiasa menyokong hasrat murni Alif.

Abang Man
  • Seorang yang agresif.
  • Tidak berhemah.
  • Gemar menggunakan kata-kata yang kesat.
  • Bersikap terburu-buru.
  • Tidak berfikiran jauh.

PLOT
Binaan Plot

Permulaan - Pada suatu pagi, Alif sedang melawat ke sawah padinya. Pada waktu itu, Alif terkenang akan perbualannya dengan abahnya. Kata Alif, padi yang masak itu kuning seperti emas. Kata abahnya, jika berbudi pada tanah, mereka akan menuai emas. Kemudian, Alif terkenang pula akan kata-kata emaknya yang sering mengajarnya erti syukur, sabar, dan reda. Lamunan terhenti apabila Tuk Ketua menyapanya. Alif memberitahu Tuk Ketua bahawa kerja menuai padi akan dimulakan esok.

Perkembangan - Alif terkenang akan peristiwa di rumahnya setahun yang lalu. Perbalahan berlaku antara Alif dengan pemilik-pemilik petak sawah yang bakal dijadikan taman perumahan. Ketegangan timbul apabila Alif tidak bersetuju untuk menjual tanahnya kepada syarikat perumahan. Kebanyakan pemilik tanah sawah termasuk Abang Man telah bersetuju untuk melepaskan tanah mereka. Abang Man meminta Mak Wan untuk menasihati anaknya, Alif supaya bersetuju dengan rancangan tersebut. Walau bagaimanapun, Mak Wan sendiri hanya diam dan tidak bersuara. Abang Man menyindir Alif dengan menyatakan bahawa Alif tidak lulus peperiksaan di universiti. Menurut Abang Man lagi, Alif balik ke kampung untuk bekerja sendiri kerana tidak ada kerja yang lain. Mak Wan menyuruh pemilik-pemilik tanah sawah yang hadir itu pulang dahulu. Mak Wan akan berbincang secara anak-beranak dengan Alif. Seterusnya, Alif teringat pula akan perbualannya dengan pegawai pertanian. Pegawai itu menasihati Alif agar tidak memandang rendah terhadap bidang pertanian. Hal ini demikian kerana bidang pertanian juga memberikan pulangan yang lumayan kepada pengusahanya.

Klimaks - Alif terkenang akan peristiwa Abang Man dan beberapa orang jiran sekampung yang datang menyerang rumahnya. Abang Man menyalahkan Alif atas pembatalan projek perumahan itu. Suasana menjadi tegang. Alif menyatakan bahawa dia tidak melakukan apa-apa. Dia hanya berdoa kepada Allah agar projek perumahan itu dibatalkan. Menurutnya lagi, jika doanya itu salah, Alif meminta Abang Man membuat laporan polis. Abang Man tergamam apabila mendengar kata-kata Alif itu. Alif juga meminta kebenaran daripada semua pemilik tanah itu untuk menjadikan petak-petak sawah mereka sebagai estet padi.

Peleraian - Projek estet padi seluas 58.609 hektar dengan penglibatan 15 orang tuan tanah itu kini telah menampakkan hasil. Seluruh kawasan sawah itu sedang menguning. Alif tidak sabar menunggu hari esok untuk menuai emas.


TEKNIK PLOT

  • Dialog
"Terima kasih, tuk. Apa-apa pun, saya rasa elok juga kalau disimpan ucapan tahniah tu sampai kita habis menuai."
"Kalau emak mahu saya lepaskan dua petak tu, saya akan lepaskan.'

  • Pemerian
Alif tersentak ketika gegendangnya ditujah bunyi hon singkat tetapi keras. Sebuah motosikal hampir melanggarnya. Dia berundur selangkah seraya mengelopak senyuman apabila bersabung pandangan dengan si penunggang motosikal.


  • Imbas kembali
Alif teringat kembali perbualannya dengan abahnya suatu ketika dahulu. 
"CANTIK, ya abah!"
"Memang cantik."
"Kuningnya seperti emas, kan, abah?"
"Inilah hasilnya berbudi kepada tanah. Kita akan menuai emas nanti!"

Alif teringat akan perkara yang pernah berlaku setahun yang lalu. 
...Dia cuba memutar pita ingatan semula. Lebih setahun lalu, petak emas ini membuak dengan rasa geram,marah dan dendam yang berkacuh dengan air mata pilu dan jiwa yang luka berdarah. Dia sangka dia sudah mengalah ketika itu. Dia hampir mahu angkat bendera putih. Apatah lagi kala melihat air mata yang luruh daripada mata layu emak.


Sambungan kupasan (Bahagian 2) di sini



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Elakkan meninggalkan komen sebagai Anonymous/Tanpa Nama. Pilih 'Nama/URL', isikan nama (Tidak perlu isikan URL) dan tekan 'Teruskan'.

Follow by Email