Selamat Singgah!

Assalamu'alaikum & Salam Sejahtera,

Selamat datang ke FunCrayons. Blog ini menyediakan material/bahan belajar tambahan untuk para pelajar kelas tuisyen kami. Kami dengan rendah diri ingin berkongsi dengan kalian semua.

Suka diingatkan di sini, apa yang kami kongsikan di sini ialah bahan-bahan yang kami rasakan sesuai dan dapat membimbing murid/pelajar. Blog ini tidak menawarkan khidmat untuk memberi nota penuh atau menyediakan karangan lengkap untuk menyiapkan tugasan sekolah mana-mana pelajar. Mohon budi bicara kalian agar tidak meninggalkan komen-komen yang tidak bermoral.

Gunakan bahan di blog ini sewajarnya dan dapatkan sumber rujukan lain untuk membantu anda belajar. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang masalah atau kesulitan yang anda alami ekoran bergantung sepenuhnya pada isi kandungan blog ini.

Jika ada masalah dengan sebarang pautan di blog ini, sila maklumkan kepada kami di ruangan komen entri berkenaan.

Sabtu, Januari 21, 2017

Menuai Emas, Antologi Baik Budi Indah Bahasa - Kupasan (Bahagian 2)

Menuai Emas
Antologi Baik Budi Indah Bahasa


Kupasan Bahagian 2. Bahagian 1 di sini.

LATAR

Latar Tempat

  • Petak bendang - Alif disapa oleh Tuk Ketua ketika dia sedang menyusuri permatang sawah.
  • Anjung rumah Mak Wan - Beberapa orang pemilik tanah membuat perbincangan.
  • Petak-petak sawah di Seberang Perak - Pernah dikunjungi Alif dalam usaha mengumpul pengalaman dan maklumat untuk memajukan aktiviti penanaman padi di kampungnya.


Latar Masa

  • Awal pagi - Alif menyusuri permatang sawah lalu disapa oleh Tuk Ketua yang sedang menunggang motosikal pada waktu tersebut.
  • Setahun yang lalu - Setahun yang lalu, Abang Man dan beberapa pemilik tanah datang ke rumah Mak Wan bertujuan untuk meminta Mak Wan dan Alif melepaskan dua petak tanah milik keluarga mereka.


Latar Masyarakat

  • Masyarakat petani - Alif dan penduduk kampungnya merupakan masyarakat yang menjalankan aktiviti penanaman padi.
  • Masyarakat yang berilmu - Alif merupakan lulusan universiti dalam bidang ekonomi.
  • Masyarakat yang berazam tinggi - Alif merupakan golongan muda yang berazam tinggi untuk memajukan aktiviti penanaman padi di kampungnya dengan menggunakan teknologi moden.
  • Masyarakat yang agresif - Abang Man bercakap kasar terhadap Alif disebabkan Alif tidah mahu melepaskan tanah milik keluarganya untuk tujuan pembangunan.
  • Masyarakat yang berhemah tinggi - Pegawai pertanian tidak lokek untuk memberikan maklumat kepada Alif serta sentiasa memberikan kata-kata semangat kepada Alif supaya dia dapat memajukan aktiviti penanaman padi di kampungnya.
  • Masyarakat yang sentiasa positif - Emak Alif sentiasa mendidiknya dengan mengamalkan sifat syukur, sabar, dan reda dalam kehidupan.
  • Masyarakat yang mempunyai nilai kepimpinan yang tinggi - Tuk Ketua merupakan ketua kampung yang sentiasa menyokong tindakan untuk memajukan aktiviti penanaman padi di kampung mereka.

GAYA BAHASA
  • Ayat 
Pengarang menggunakan ayat-ayat yang pendek.

"Bila jentera tuai sampai?"
"Siapa kata mak suruh lepaskan?" Emak menjegil.
"Buat apa?"

Pengarang menggunakan ayat-ayat yang panjang.
Anak-anak mereka kebanyakannya sudah berhijrah ke bandar menjadi warga industri di kilang yang terus bercambah...

...menjadi petani alaf baharu ini tidak perlu lagi bertajak, berkubang dan berselut badan merembas menerung yang degil liat...

Dia pernah dihina, dikutuk dan dimarahi kerana beria-ia memujuk para tuan tanah supaya menolak tawaran menjual petak masing-masing kepada syarikat pemaju perumahan.


  • Diksi

Pemilihan kata yang digunakan oleh pengarang bersesuaian dengan jalan cerita untuk golongan yang menjalankan aktiviti penanaman padi. Contoh, kata-kata tersebut seperti peratus, kilogram, uji kaji, sehektar, imidazolodonone, siput gondang emas, krisis, mengimport, dan sebagainya.


  • Penggunaan bahasa Arab - Alhamdulillah, Insya-Allah, Allah
  • Metafora - pita ingatan, mata layu, pisau kata-kata, ufuk batin
  • Simile
Kuningnya seperti emas
hati yang terasa seperti mahu luruh.
bagaikan disua bahan api.
emak mengejipkan mata semacam memberi isyarat.


  • Personafikasi
...petak emas ini membuak dengan rasa geram, marah dan dendam yang berkacuh dengan air mata pilu dan jiwa yang luka berdarah.

Dalam dingin yang mencengkam, dia merasai...

petak-petak yang telah menyajikan uji semangat leluhurnya...
Wajah Abang Man datang mendadak menyerang benak.


  • Peribahasa
tersenyum-senyum kambing
kata putus
bendera putih
naik angin


  • Sinkope
Dia seorang  yang saya tak beri kata putus.
Anak Mak Wan seorang saja yang tolak tuah.
Tak kan budak universiti macam dia nak buat kerja kampung begini? Eh, betulkan dia tamat belajar? Entah-entah dia tak lulus periksa, itu yang beria-ia sangat nakkan petak tu...sebab tak dapat kerja lain!"


NILAI

Keyakinan.
Misalnya, Alif yakin dengan kebolehan diri bahawa dia mampu mengusahakan sebuah estet padi di kampungnya.

Ketabahan.
Misalnya, Alif tabah menghadapi segala cabaran demi meyakinkan orang-orang kampung agar menerima cadangannya membangunkan estet padi.

Kegigihan.
Misalnya, Alif gigih berusaha mencari pengalaman dan maklumat tentang cara-cara mengendalikan estet padi di kampungnya.

Keberanian.
Misalnya, Alif berani mempertahankan tanah hak milik keluarganya.

Kerjasama.
Misalnya, hasil kerjasama dan persetujuan orang-orang kampung, kaedah moden dalam aktiviti penanaman padi dapat dijalankan.

Baik Hati
Misalnya, pegawai pertanian tidak lokek memberikan maklumat kepada Alif dan sentiasa memberikan kata-kata semangat kepadanya untuk memajukan aktiviti penanaman padi di kampungnya.

Berdikari.
Misalnya, Alif mengambil keputusan untuk bekerja sendiri meskipun dia seorang graduan universiti.

Kesyukuran.
Misalnya, Alif sentiasa bersyukur dalam menjalani hidupnya sehari-hari.

Kepemimpinan.
Misalnya, Tuk Ketua mempunyai sikap kepemimpinan yang tinggi dalam menghadapi kerenah penduduk kampung.


PENGAJARAN

  1. Kita hendaklah yakin dengan kebolehan diri dalam melakukan sesuatu perkara.
  2. Kita hendaklah tabah dalam menghadapi segala dugaan atau cabaran demi meraih kejayaan.
  3. Kita hendaklah gigih berusaha untuk mendapatkan sesuatu ilmu atau pengalaman.
  4. Kita mestilah berani mempertahankan hak milik keluarga terutamanya dalam hal tanah.
  5. Kita disarankan agar memberikan kerjasama yang baik demi memperoleh manfaat bersama.
  6. Kita hendaklah berkongsi ilmu dan memberikan semangat kepada golongan yang ingin memajukan diri dalam sesuatu bidang.
  7. Janganlah kita bertindak agresif dan terburu-buru dalam melakukan sesuatu perkara.
  8. Kita hendaklah sentiasa bersyukur dengan segala nikmat kurniaan Tuhan kepada kita.
  9. Kita digalakkan unttuk berbakti kepada tanah supaya memperoleh hasil daripadanya.
  10. Sebagai ketua atau pemimpin, kita mestilah mempunyai sifat kepemimpinan yang tinggi supaya kita dapat mengendalikan orang bawahan kita dengan baik.

1 ulasan:

Elakkan meninggalkan komen sebagai Anonymous/Tanpa Nama. Pilih 'Nama/URL', isikan nama (Tidak perlu isikan URL) dan tekan 'Teruskan'.

Follow by Email