Selamat Singgah!

Assalamu'alaikum & Salam Sejahtera,

Selamat datang ke FunCrayons. Blog ini menyediakan material/bahan belajar tambahan untuk para pelajar kelas tuisyen kami. Kami dengan rendah diri ingin berkongsi dengan kalian semua.

Suka diingatkan di sini, apa yang kami kongsikan di sini ialah bahan-bahan yang kami rasakan sesuai dan dapat membimbing murid/pelajar. Blog ini tidak menawarkan khidmat untuk memberi nota penuh atau menyediakan karangan lengkap untuk menyiapkan tugasan sekolah mana-mana pelajar. Mohon budi bicara kalian agar tidak meninggalkan komen-komen yang tidak bermoral.

Gunakan bahan di blog ini sewajarnya dan dapatkan sumber rujukan lain untuk membantu anda belajar. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang masalah atau kesulitan yang anda alami ekoran bergantung sepenuhnya pada isi kandungan blog ini.

Jika ada masalah dengan sebarang pautan di blog ini, sila maklumkan kepada kami di ruangan komen entri berkenaan.

Sabtu, April 15, 2017

Talia dan Raksasa Qadqad, Baik Budi Indah Bahasa (Tingkatan 2) - Kupasan Bahagian 1

Talia dan Raksasa Qadqad (Zaniffa Azzura Abdullah)
Antologi Baik Budi Indah Bahasa

Kupasan Bahagian 1

Tema
Konflik antara manusia dengan alam semula jadi - Manusia bandar yang rakus dan tamak telah memusnahkan alam semula jadi demi mengaut keuntungan semata-mata. Hutan belantara ditarah untuk pembalakan manakala bukit diruntuhkan untuk dijadikan kawasan perlombongan sehingga memusnahkan habitat flora dan fauna. Bukan itu sahaja, bahkan kehidupan orang asli yang aman dan harmoni turut terancam.

Persoalan
  • Perbuatan yang baik akan dibalas dengan kebaikan. Contohnya, Talia yang telah merawat seekor anak Raksasa Qadqad yang tercedera, akhirnya telah diselamatkan oleh raksasa tersebut sewaktu perkampungan mereka hendak dimusnahkan oleh Binjah.
  • Kasih sayang terhadap keluarga. Contohnya, Dodo amat menyayangi anggota keluarganya dan sanggup ditembak oleh Binjah semata-mata demi menyelamatkan anggota keluarganya.
  • Sikap tamak dan rakus manusia. Contohnya, Binjah seorang yang tamak kerana hendak melombong di perkampungan orang asli tetapi akhirnya terkorban kerana diserang oleh Raksasa Qadqad.
  • Kesusahan dan kegetiran hidup masyarakat orang asli yang tinggal di kawasan pedalaman. Contohnya, Dodo yang terpaksa berjalan kaki ke stesen kereta api untuk mendapatkan rawatan anaknya, Jini yang sedang sakit di bandar.
  • Hubungan persahabatan antara manusia dengan haiwan. Contohnya, sifat Talia yang baik hati merawat seekor anak Raksasa Qadqad yang tercedera telah menyebabkan haiwan tersebut menyelamatkan kampungnya daripada dimusnahkan oleh Binjah.
  • Kepentingan alam semula jadi terhadap manusia. Contohnya, kebergantungan pada alam semula jadi untuk meneruskan kehidupan.

Plot
  • Permulaan - Talia bertembung dengan seekor Raksasa Qadqad sewaktu bermain di pinggir huma berhampiran dengan hutan di lereng Bukit Ungu. Talia terlihat seekor binatang aneh yang menyerupai seekor katak tercedera. Dia telah mengambil pucuk daun dalut untuk merawat binatang tersebut. Binatang aneh tersebut diberi nama Qadqad oleh penduduk kampung kerana bunyinya yang menyerupai bunyi seekor katak.
  • Perkembangan - Peristiwa Dodo bersama-sama dengan isterinya, Misa dan anak-anaknya, Talia dan Jini pergi ke stesen kereta api untuk merawat Jini yang sedang demam di bandar. Di pertengahan jalan, mereka telah bertembung dengan Sidek, pemandu kereta api dan Binjah yang bertugas mengawas bijih yang disorong keluar dari bangunan untuk dipindahkan ke dalam gerabak kereta api. Mereka telah digertak oleh Binjah kerana cuba menaiki kereta api tersebut secara percuma. Secara tiba-tiba, Binjah dan pekerja lombong telah diserang oleh Raksasa Qadqad. Binjah berasa hairan kerana Talia dan keluarganya terselamat daripada serangan tersebut. Sidek telah menemani Dodo mendapatkan rawatan untuk Jini di hospital. Kemudian, mereka membuat laporan di balai polis tentang Binjah dan pengikutnya yang menyerang kampung mereka.
  • Klimaks - Binjah dan para pengikutnya telah membawa jentera berat untuk memusnahkan perkampungan orang asli tersebut kerana ingin mengaut hasil buminya. Dodo yang cuba mempertahankan kampung tersebut telah terkena tembakan pada lengan kirinya yang dilepaskan oleh Binjah.
  • Peleraian - Beratus-ratus ekor Raksasa Qadqad muncul dari dalam hutan dan telah menyerang Binjah dan para pengikutnya. Banyak pengikutnya yang telah terkorban termasuk Binjah sendiri. Akhirnya, penduduk di perkampungan orang asli itu terselamat. Selepas peristiwa itu, Raksasa Qadqad terus lenyap.

Teknik Plot
  • Dialog
"Ini bukan demam biasa," kata Dodo. "Kita perlu bawa ke hospital."

"Apa tumpang-tumpang? Kau fikir kereta api ni untuk bersuka ria?"

"Tentulah tanah ungu. Serangan Qadqad sekarang berleluasa di hutan di seluruh negeri. Kata Tuan Binjah, sesiapa yang dapat mengawal tanah ungu, pasti kaya-raya!"

  • Imbas kembali
Berdasarkan cerita salah seorang pembalak yang terselamat, pada hari yang sebelumnya, sebatang balak menimpa sarang makhluk itu. Biarpun tidak cedera teruk, keluarga haiwan itu terperangkap. Namun, entah apa-apa alasannya, mandur kem balak menetak mati kesemua yang terperangkap itu. Tindakannya itulah yang menjerut manusia lain dengan hukuman mati.

  • Pemerian
Makhluk itu mengerang, mempamerkan taringnya. Cecair hijau likat meleleh dari lekuk tajam di bahagian sisi kepalanya, persis luka akibat dilibas gergaji.

Mereka segera bergerak meninggalkan rumah dengan Dodo mendukung Talia. Jini pula didukung oleh Misa di dalam bakul sandang hasil anyamannya sendiri. Mata jini terpejam rapat dan dadanya hampir-hampir tidak berombak. Talia melenyekkan pipi di bahu Dodo, melihat rimbun lapisan daun ceruyu di pinggir desa yang kain menebal.

Talia dan keluarganya dibenarkan menaiki kereta api beberapa minit kemudian. Di bandar, Sidek menguruskan perjalanan mereka ke hospital bersama-sama dengan pekerja lombong yang cedera. Bahkan dia menanti sehingga Jini dimasukkan ke dalam wad.


Kupasan Bahagian 2 di sini. (Akan datang)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Elakkan meninggalkan komen sebagai Anonymous/Tanpa Nama. Pilih 'Nama/URL', isikan nama (Tidak perlu isikan URL) dan tekan 'Teruskan'.

Follow by Email